Showing posts with label KISAH TAULADAN. Show all posts
Showing posts with label KISAH TAULADAN. Show all posts

Sep 19, 2011

NABI IBRAHIM A.S. (BHGN.3) : NABI IBRAHIM DAN RAJA NAMRUD


Ini adalah sambungan dari sini dan sana :)


NABI IBRAHIM A.S. BERANGKAT KE BABYLON UNTUK MENYERU NAMRUD


Setelah Nabi Ibrahim a.s. menjadi pemerintah di Palestin, maka datanglah perintah ALLAH s.w.t. agar baginda pulang semula ke Babylon dengan membawa angkatan tentera bagi menyeru Raja Namrud agar menyembah ALLAH s.w.t dan beriman dengan kerasulan baginda....

Aug 6, 2011

RAITHAH (WANITA PEMINTAL BENANG)


Dalam al-Quran, ALLAH s.w.t telah berfirman:


Dalam al-Quran, ALLAH s.w.t telah berfirman: 
       
Terjemahan:
“Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya,


Aug 2, 2011

NABI IBRAHIM A.S. (BHGN. 2 ) ~ PENGEMBARAAN KE MESIR DAN PALESTIN ~

Ini adalah susulan dari entry Menarik tentang 25 Nabi: Nabi Ibrahim a.s..

NABI IBRAHIM A.S. KE NEGERI SYAM BERSAMA ISTERI

Gambar hiasan
Setelah bernikah, Nabi Ibrahim a.s. memaklumkan kepada isteri yang sangat dicintainya bahawa baginda mempunyai tugas yang sangat besar, iaitu sebagai seorang Nabi dan Rasul yang menegakkan agama ALLAH di muka bumi. Oleh itu, baginda perlu ke negeri Syam untuk



Apr 14, 2011

NABI IBRAHIM A.S. ~ ZAMAN KANAK-KANAK HINGGA BERKAHWIN

(Ini adalah susulan dari entry Menarik tentang 25 Nabi: Nabi Adam a.s. - Nabi Salih a.s..)

Sejahtera ke atas semua..
Kalau tiba-tiba ada orang suruh cerita tentang sirah Nabi Ibrahim, agaknya anda dapat tak cerita secara detail dan sepenuhnya tak? Kalau saya, huhu, tah la. Yang saya ingat Nabi Ibrahim ayahnya seorang pembuat berhala dan taknak beriman dengan agama anaknya. Ada peristiwa Nabi Ibrahim pecahkan patung berhala sewaktu kaumnya bersuka ria menyambut perayaan. Lepas tu Nabi Ibrahim dijatuhkan hukuman bakar hidup-hidup tapi ALLAH perintahkan api supaya menjadi sejuk. Lagi.. Nabi Ibrahim ada dua orang isteri, Siti Sarah dan Siti Hajar. Siti Sarah melahirkan Nabi Ishak manakala Siti Hajar melahirkan Nabi Ismail. Peristiwa terbesar dalam riwayat Nabi Ibrahim adalah peristiwa penyembelihan anaknya Nabi Ismail. Dari situ la bermulanya Hari Raya Korban.

Itu je yang saya ingat tentang Nabi Ibrahim a.s. Rupa-rupanya bila selongkar buku-buku Nabi, banyak sangat peristiwa-peristiwa menarik yang berkaitan dengan Nabi ALLAH ini, jadi tak best la layan sorang-sorang. Jom layan sama-sama :)

AYAH NABI IBRAHIM YANG KACAK DAN DISAYANGI RAJA NAMRUD

Gambar hiasan: Taman Tergantung Babylon

Ayah Nabi Ibrahim a.s. namanya Azar. Saya tak pasti pulak sama ada Raja Namrud ni ada kegemaran yang aneh-aneh tu, tapi dalam buku digambarkan Raja Namrud ni punya la sayang kat ayah Nabi Ibrahim sampai tidur pun atas riba Azar. Ironinya, anak yang bakal dilahirkan dari baka Azar tercinta ini la yang akan menjadi musuh ketat Raja Namrud. Anak itu adalah Nabi Ibrahim a.s.

Ahli nujum membuat firasat bahawa akan ada seorang bayi yang dilahirkan ke dunia untuk menjatuhkan kerajaan Namrud yang kejam. Bila Raja Namrud dengar ramalan ni, dia pun terus keluar perintah yang tak masuk akal iaitu rakyatnya tak boleh kawin. Yang dah kawin, kena cerai. Askar-askar dikerahkan untuk jaga setiap rumah untuk pastikan suami isteri tak buat hubungan kelamin. Kejam dan zalim betul si Namrud.

ALLAH itu Maha Berkuasa. Pada satu malam, isteri Azar iaitu ibu Nabi Ibrahim a.s. tiba-tiba menjadi sangat berahi. Tambah pulak suaminya dah lama tak pulang ke rumah (Azar takut nak balik sebab risau Namrud marah). Isteri Azar pun tekad untuk ke istana berjumpa suaminya. Dengan kuasa ALLAH, semua penghuni istana termasuk Namrud tertidur dengan nyenyak. Maka Azar pun dapat berjumpa dengan isterinya dan mereka pun bergaul dengan sepuas-puasnya. Selepas itu isteri Azar pun hamil, dan anak yang dikandungnya itulah Nabi Ibrahim a.s.

Sebelum ini, Azar mempunyai wajah yang bercahaya dan gilang gemilang, tetapi selepas isterinya hamil, cahaya itu hilang kerana ianya telah turun ke dalam rahim isterinya, kepada janin yang dikandungnya.


MUKJIZAT NABI IBRAHIM A.S. KETIKA BAYI

Gambar hiasan

Diriwayatkan Nabi Ibrahim a.s. dilahirkan pada tahun 2295 SM. Oleh kerana Namrud telah mengeluarkan perintah bahawa rakyatnya tidak boleh mengandung dan melahirkan anak, maka apabila Nabi Ibrahim a.s. selamat dilahirkan, ibunya berasa risau anaknya akan diapa-apakan oleh tentera Namrud. Oleh itu dia pun meninggalkan Nabi Ibrahim a.s. di dalam sebuah gua. Selepas tiga hari, ibu Nabi Ibrahim a.s. berasa sangat bimbang atas keselamatan anaknya. Hidup lagikah, atau sudah mati? Lalu dia pun pergi ke gua untuk menjenguk bayinya. Alangkah terkejut dan gembiranya sang ibu apabila melihat bayinya berada dalam keadaan selamat dan sihat. Siap tengah main-main lagi dengan riangnya seperti bayi yang tengah kenyang.

Kenapa Nabi Ibrahim a.s. masih selamat dan sihat walaupun ditinggalkan seorang diri di dalam gua? Tiga hari pulak tu? Bayi pulak tu?

Inilah mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s. Sebenarnya sewaktu ibunya keluar dari mulut gua, malaikat Jibril a.s. datang untuk menjaga Nabi Ibrahim. Jibril memasukkan jari bayi itu ke dalam mulutnya sendiri. Si bayi terus menghisap jarinya seperti anak yang sedang menyusu. Dari jari Nabi Ibrahim keluar dua jenis minuman iaitu madu dan susu secara berselang seli. Beginilah cara ALLAH memelihara sesiapa yang dikehendaki dari kalangan hamba-hamba-Nya tanpa dapat difikirkan oleh akal manusia. Nabi Ibrahim a.s. hidup di dalam gua sehingga berusia tujuh tahun. Baginda seorang yang suka berfikir dan merenung alam. Dari sinilah Nabi Ibrahim a.s. menemui Penciptanya.


NABI IBRAHIM MENJUAL BERHALA AYAHNYA
Ayah Nabi Ibrahim bekerja sebagai pengukir patung berhala untuk tujuan komersial. Nabi Ibrahim disuruh ayahnya untuk membantu menjual patung-patung tersebut. Walaupun berasa benci, namun Nabi Ibrahim tetap patuh pada perintah ayahnya. Ketika bertemu orang ramai, Nabi Ibrahim tidak berkempen mengajak orang untuk membeli patung-patung tersebut. Sebaliknya baginda memburuk-burukkan berhala yang dibawanya. Kata Nabi Ibrahim, "buat apa pakcik beli patung berhala yang tak berguna ini?" Dengan kata-katanya itu patung berhala yang dibuat ayahnya tidak laku dijual.


NABI IBRAHIM MEMUSNAHKAN BERHALA

Gambar hiasan

Tugas pertama Nabi Ibrahim selepas bergelar Rasul adalah mengajak ayahnya sendiri untuk memeluk agama ALLAH. Malangnya, Azar menjadi sangat marah kerana anaknya mempermain-mainkan tuhan-tuhan yang mereka telah sembah sekian lama. Azar menghalau anaknya keluar dari rumah. Nabi Ibrahim berusaha pula berdakwah kepada kaum-kaumnya namun tidak mahu beriman. Selepas inilah berlakunya peristiwa di mana Nabi Ibrahim memusnahkan berhala-berhala kecil yang terdapat di rumah berhala dengan kapak. Berhala yang paling besar tidak dimusnahkannya. Kapak yang digunakan telah disangkut pada telinga berhala besar tersebut.


DIALOG SEWAKTU PERBICARAAN NABI IBRAHIM A.S.
Sudah tentulah kaum Nabi Ibrahim dengan mudah menuduh baginda yang melakukan kerja tersebut, kerana telah terang-terang Nabi Ibrahim sahaja yang berada di rumah pada waktu itu, dan Nabi Ibrahim pula memang diketahui ramai menolak keras penyembahan berhala. Nabi Ibrahim menolak tuduhan itu. Kata baginda, berhala yang besar itulah yang telah memusnahkan berhala-berhala kecil tersebut, bukan baginda. Kalau tak percaya tanya berhala besar tu.

Para penduduk berpandangan sesama sendiri lalu berkata:
"Patung-patung itu tidak boleh berkata-kata! Mengapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya hah?"

Inilah jawapan yang ditunggu-tunggu oleh Nabi Ibrahim. Baginda pun terus berhujah: "Kalau begitu, kenapa kamu semua menyembah patung-patung yang tidak dapat berkata-kata dan tidak dapat pertahankan diri dari segala kebinasaan? Kenapa kamu menyembah berhala dan tidak menyembah ALLAH? Adakah kamu tidak mempunyai akal?"

Jawapan yang diberikan Nabi Ibrahim bukannya membuka pintu hati mereka, sebaliknya menambahkan kemarahan. Nabi Ibrahim terus dijatuhkan hukuman dibakar hidup-hidup.


PERISTIWA NABI IBRAHIM DIBAKAR HIDUP-HIDUP

Gambar hiasan

Peristiwa ini berlaku secara besar-besaran di mana pentas pembakaran telah disediakan dan setiap rakyat menyumbang dalam mengutip kayu-kayu api untuk dibakar. Api menjulang dengan sangat tinggi sehingga digambarkan burung pun akan mati apabila terbang di atasnya. Nabi Ibrahim dilontak ke dalam api dengan menggunakan alat bernama manjanik. Kekuatan beribu-ribu orang diperlukan untuk melakukan kerja zalim ini. Ayah Nabi Ibrahim, Azar juga turut menyumbangkan tenaga.

Apabila Nabi Ibrahim berjaya dilontarkan, ALLAH memerintahkan api menjadi sejuk. Pada mulanya api menjadi sejuk sehingga Nabi Ibrahim menggigil di dalamnya. Selepas itu ALLAH memerintahkan api menjadi nyaman. Kemudian malaikat Jibril pula datang membawa barang-barang dari syurga untuk Nabi Ibrahim. Kaum Nabi Ibrahim menjadi takjub melihat Nabi Ibrahim sedang rileks-rileks di dalam api sambil duduk-duduk di atas sebuah kerusi, memakai pakaian baru dan menikmati buah-buahan yang enak dari syurga. Di samping itu ada pula mata air terpancar di sekeliling baginda, menambahkan suasana nyaman di dalam api tersebut. Melihat peristiwa itu, ramai kaum Babilon beriman kepada agama Nabi Ibrahim a.s.


DIALOG RAJA NAMRUD DENGAN NABI IBRAHIM A.S.
"Apakah fitnah yang telah engkau sebarkan kepada rakyatku sehingga mereka tidak lagi mempercayai aku sebagai tuhan mereka? Kau tidak nampakkah aku berkuasa mengatur kerajaan aku? Menetap dan membatal sesuatu mengikut kehendakku?"

"Wahai Namrud! Aku tidak memfitnah. Aku hanya mengajak kamu semua menyembah ALLAH, Tuhan sekalian alam, yang mencipta, menghidupkan dan mematikan kita semua."

"Aku pun boleh menghidupkan dan mematikan!"

"Bagaimana?"

"Ha,ha,ha! Bukan kah aku berkuasa membebaskan orang-orang yang sepatutnya dijatuhkan hukuman pancung kepala. Orang lain tiada kuasa melakukan begitu. Itulah namanya menghidupkan!"

"Wahai Namrud! Tuhanku telah mencipta matahari, dan menerbitkannya setiap pagi dari Timur, dan menenggelamkannya setiap petang di barat. Oleh kerana engkau juga tuhan, maka bolehlah engkau naikkan matahari ciptaan Tuhanku dari barat ke timur pula!"

Namrud: *Speechless*

Akhirnya kerana malu, Namrud menghalau Nabi Ibrahim keluar dari Babilon. Nabi Ibrahim pun pergi merantau ke negeri Syam. Sebelum itu dia singgah di sebuah negeri bernama Harran.


PERTEMUAN NABI IBRAHIM A.S. DENGAN ISTERINYA SITI SARAH

Gambar hiasan

Puteri Sarah, anak Raja Harran merupakan seorang yang sangat jelita sehingga menjadi rebutan jejaka-jejaka di negerinya, malah di negeri-negeri lain. Walau bagaimanapun, Puteri Sarah tidak berkenan kepada seorang pun, sehinggalah dia ternampak Nabi Ibrahim yang sedang duduk berteduh di bawah pokok. Puteri Sarah melihat tempat berteduh Nabi Ibrahim itu bercahaya dan bergemelapan. Wajah Nabi Ibrahim juga sangat indah dan menyebabkan Puteri Sarah jatuh cinta kepada baginda. Puteri Sarah menghulurkan buah limau kepada Nabi Ibrahim. Huluran itu disambut oleh baginda. Inilah simbolik bahawa baginda menerima cinta sang puteri...

Entry akan datang, insya ALLAH:
TUGAS NABI IBRAHIM BERDAKWAH DI NEGERI SYAM
SITI SARAH CUBA DIPERKOSA RAJA MESIR
NABI IBRAHIM A.S. MEMAKMURKAN BUMI PALESTIN DENGAN KUASA ALLAH


Klik sini untuk baca "Nabi Ibrahim a.s. Bahagian 2: Pengembaraan ke Mesir & Palestin"

Sumber: KISAH 25 NABI oleh TARIKUDDIN BIN HAJI HASSAN

Feb 3, 2011

KENALI SAIYIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ: Sahabat Karib Rasulullah S.A.W.



Abu  Bakar As-Siddiq : Peristiwa-peristiwa di  Mekah

Trivia: Gambar dari IKONOS Satelite milik Space Imaging Inc, AS. Masjidil Haram yang ‘diintai’ oleh AS pada 31 Oktober 1999 itu menampilkan fenomena menakjubkan. Terlihat di gambar hanya bahagian Masjidil Haram saja yang berkilau sementara bangunan di sekitarnya nampak lebih gelap. Subhanallah. (NASA Astronomy Picture of The Day)

Gelaran "As-Siddiq"
Saiyidina Abu Bakar digelar "As-Siddiq" kerana beliau sering membenarkan apa yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. Contoh peribadi Abu Bakar ini adalah sewaktu Nabi s.a.w. melakukan Israk Mikraj. Apabila diceritakan, kebanyakan manusia tidak mempercayai kata-kata Nabi s.a.w., walhal sebelum itu mereka telah beriman dan membenarkan baginda. Beberapa orang dari mereka pergi menemui Abu Bakar.

"Adakah kamu mempercayai apa yang diceritakan oleh Nabi s.a.w.? Dia mengakui bahawa dia telah melakukan israk dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa semalam!" tanya mereka.

"Adakah dia mengatakan perkara itu?" Abu Bakar pula bertanya.

"Ya," jawab mereka.

"Kalau begitu, pasti dia jujur," jawab Abu Bakar tegas.

"Adakah kamu percaya yang semalam dia telah pergi ke Baitul Maqdis kemudian balik ke Mekah sebelum Subuh?" Mereka bertanya lagi.

"Ya!" Jawab Abu Bakar. "Saya pasti mempercayainya, malah dalam jarak lebih jauh dari itu juga saya tetap mempercayainya. Saya percaya pada khabar langit yang dikhabarkan oleh Nabi s.a.w. setiap pagi dan petang!"

Sejak itu, Abu Bakar diberi gelaran As-Siddiq.


Tidak Pernah Minum Khamar
Walau pada zaman jahiliah, Abu Bakar tetap menjaga martabat dan maruahnya. Dia telah mengharamkan khamar pada dirinya sebelum Islam mengharamkannya.

"Orang yang meminum khamar, sesungguhnya dia telah mencemarkan kehormatan dirinya," kata Abu Bakar .


Tidak Pernah Sujud di Hadapan Berhala
Ketika memasuki usia akil baligh, Abu Quhafah (bapa Abu Bakar) telah membawanya memasuki sebuah ruang yang dipenuhi berhala. Bapanya mengatakan yang berhala-berhala itu adalah tuhan mereka.

Abu Bakar lalu mendekati berhala tersebut dan berkata, "Saya sangat lapar. Berikan makanan kepada saya!"

Berhala itu tidak mampu memenuhi permintaanya.

"Saya tidak berpakaian. Berikan baju kepada saya!" Berhala itu tetap tidak dapat memenuhi permintaanya.

Akhirnya Abu Bakar telah melemparkan sebongkah batu ke arah berhala tersebut, menyebabkan berhala itu jatuh tersungkur tanpa daya upaya.
Mimpi Abu Bakar
Semasa berada di Syam, Abu Bakar pernah bermimpi. Beliau menceritakan mimpi tersebut kepada seorang pendeta Buhaira.
"Kamu berasal dari mana?" tanya pendeta.
"Mekah," jawab Abu Bakar.
"Suku apa?"
"Quraisy."
"Pekerjaanmu sekarang?"
"Pedagang."
"Sekiranya ALLAH menjadikan mimpimu kenyataan kelak, sesungguhnya seorang Nabi akan diutus dari kalangan kaummu. Kamu akan menjadi pembantunya semasa dia hidup dan penggantinya setelah dia wafat," Buhaira menafsirkan mimpi Abu Bakar.
Selepas mendengar penjelasan Buhaira, Abu Bakar menyimpan perbualan antaranya dengan sang pendeta dengan rapi dan tidak pernah menceritakannnya kepada seorang pun.
Trivia: Berdagang (berniaga) adalah satu pekerjaan yang sangat digalakkan oleh Rasulullah s.a.w. Selain berdagang, pekerjaan yang dilakukan oleh para nabi adalah menggembala kambing. Ini sebagai latihan untuk para nabi dalam memimpin umat manusia selepas diutus oleh ALLAH.
Diajak Menyembah Berhala Selepas Memeluk Islam
Penduduk Mekah menjadi resah apabila Abu Bakar memeluk Islam. Mereka berpakat untuk memujuk Abu Bakar supaya menyembah tuhan-tuhan mereka. Dalam kalangan penduduk itu, Thalhah bin Ubaidillah telah dilantik menjadi wakil mereka.
Berikut adalah perbualan antara Thalhah dengan Abu Bakar.
"Wahai Abu Bakar, bangkitlah dan ikutilah aku!"
"Ke mana kamu mahu membawa aku?"
"Aku ingin mengajakmu kembali menyembah tuhan Lata dan Uzza!"
"Beritahulah aku, siapakah Lata itu?"
"Dia adalah anak perempuan ALLAH!"
"Kalau begitu, siapakah ibunya?"
Thalhah terdiam, tidak dapat menjawab pertanyaan yang akhir itu. Abu Bakar menoleh ke arah teman-teman Thalhah dan berseru: "Ayuh, mari bantu rakan kamu ini menjawab soalanku!"
Namun tiada siapa pun yang dapat menjawab pertanyaan itu. Kesemuanya diam membisu. Thalhah memandang rakan-rakannya itu lalu berkata kepada Abu Bakar:
"Bangkitlah, wahai Abu Bakar! Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH, dan Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah pesuruh ALLAH!"
Abu Bakar menyambut tangan Thalhah dan memimpinnya menemui Rasulullah s.a.w.
Peristiwa di Hadapan Kaabah
Abu Bakar sedang duduk di halaman Kaabah sementara Zaid bin Amr bin Nufail sedang berdiri tidak jauh dari beliau. Tiba-tiba datang Ibnu Abi Shalt.
"Apa khabarmu hari ini, wahai pencari kebaikan?" tanya Ibnu Abi Shalt kepada Zaid.
"Saya dalam keadaan baik dan sihat."
"Adakah kamu telah mendapatkannya?"
"Belum."
Ibnu Abi Shalt bersyair: "Semua agama kelak pada hari kiamat tidak berguna selain agama Hanifiah yang telah berlalu masanya.." Selesai bersyair, dia bertanya: "Adakah Nabi yang dinanti-nantikan berasal dari kaum kami atau kaummu?"
Abu Bakar tertarik mendengar perbualan tersebut kerana beliau tidak pernah mendengar tentangnya sebelum ini. Beliau pun beredar menemui Waraqah bin Naufal yang terkenal mempunyai banyak berita dari langit dan memiliki suara hati yang tajam. Beliau meminta Waraqah menjelaskan kepadanya tentang hal yang didengari dalam perbualan tadi.
"Benar saudaraku," sahut Waraqah bin Naufal. "Kami adalah ahli kitab dan kaum yang berilmu. Ketahuilah kamu bahawa Nabi yang ditunggu-tunggu akan datang dari suku Arab yang paling mulia garis keturunannya. Mereka itu adalah kaummu."
"Wahai bapa saudara, apakah yang akan disampaikan oleh Nabi tersebut?"
"Dia hanya mengatakan apa yang dikatakan kepadanya. Namun dia tidak pernah melakukan aniaya dan tidak pula teraniaya."
Selepas itu, apabila Nabi s.a.w. diutus, Abu Bakar terus beriman dan membenarkan apa yang disampaikan oleh baginda.
Fizikal Abu Bakar as-Siddiq
Saiyiditina Aisyah r.a. menggambarkan ayahandanya sebagai seorang lelaki yang berkulit putih, berbadan kurus, dadanya tidak terlalu lebar, belakangnya tidak bongkok, tulang pinggangnya kecil sehingga tidak dapat menahan kain yang dipakainya, wajahnya kurus, kedua matanya cengkung, dahinya lebar dan urat-urat tangannya nampak jelas.
Kedudukan Abu Bakar pada zaman Jahiliah
Abu Bakar merupaka salah seorang pemimpin Quraisy, dan sekaligus anggota majlis mesyuarat mereka. Dia disayangi kaumnya kerana sangat memahami adat istiadat mereka. Selepas masuk Islam, dia mengutamakan ajaran Islam melebihi adat istiadatnya. - Imam Nawawi
Abu Bakar merupakan salah seorang dari sepuluh pemimpin Quraisy yang menjadi teras komunikasi seluruh bangsa Quraisy pada zaman jahiliah dan juga zaman Islam. Beliau mempunyai kuasa untuk mennguruskan diyat (denda atas pembunuhan) dan menetapkan hukuman jenayah. - Ibnu Asakir
Keluarga Abu Bakar
Di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah diciptakan-Nya untuk kalian isteri-isteri dari diri kalian sendiri—supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya di antara kalian rasa kasih sayang.  Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” [TQS Surah ar-Rum [30]: 21].
Isteri-isteri Abu Bakar
  • Abu Bakar telah menikahi Qatilah binti Abdul Uzza dan mendapat dua orang anak iaitu Abdullah dan Asma'. Tidak ada dalil yang mengatakan Qatilah memeluk agama Islam. Dalam satu riwayat, Qatilah pernah menghantar hadiah berisi keju dan minyak samin untuk anaknya Asma' yang berada di Madinah. Namun Asma' telah menolak hadiah ibunya, bahkan dia enggan memasukkannya ke dalam rumahnya. Asma' meminta nasihat Rasulullah s.a.w. tentang hal itu, dan baginda telah bersabda: "Sambunglah tali silaturrahim dengan ibumu!"
  • Abu Bakar juga menikahi Ummu Ruman binti 'Amir, yang terus memeluk Islam dan mengikuti Abu Bakar berhijrah ke Madinah. Mereka dikurniakan dua orang anak, Aisyah r.a. dan Abdurrahman.
  • Selepas memeluk Islam, Abu Bakar menikahi Asma binti Umais, setelah suaminya gugur di medan perang Mu'tah. Hasil perkahwinan tersebut mereka medapat anak lelaki yang dinamakan Muhammad bin Abu Bakar.
  • Abu Bakar juga mengambil Habibah binti Karijah. Dia melahirkan Ummu Kalthum selepas Abu Bakar wafat.
Anak-anak Abu Bakar as-Siddiq
  • Abdul Rahman bin Abu Bakar - Anak Abu Bakar yang paling tua. Dia memeluk Islam pada peristiwa perjanjian Hudaibiyah. Dia termasuk dalam kalangan sahabat Nabi s.a.w. yang sangat terkenal dengan keberaniannya. Dia hampir terbunuh oleh Abu Hurairah dalam Perang Badar. Abdurrahman telah berjaya membunuh Mahkam bin Thufail, salah seorang panglima terbaik Musailimah Al-Kadzdzab dalam Perang Yamamah.
  • Abdullah bin Abu Bakar - Dia memeluk Islam pada awal kenabian. Abdullah memiliki peranan penting dalam peristiwa hijrah, di mana dia memberi maklumat yang mengumpulkan berita dari Quraisy pada siang hari kemudian menyampaikan kepada Nabi s.a.w. dan Abu Bakar pada waktu malam di Gua Thur. Selepas pagi, dia kembali berada di kalangan kaum Quraisy. Dalam perang Thaif, Abdullah telah mengalami kecederaan akibat terkena anak panah lalu syahid. Abdullah meninggal dunia ketika ayahandanya menjadi Khalifah.
  • Asma' binti Abu Bakar - Mendapat gelaran Dzatun Nithaqain (yang memiliki dua selendang) kerana dia telah memotong selendangnya menjadi dua bahagian untuk membungkus makanan untuk diberikan kepada ayahnya dan Nabi s.a.w. yang bersembunyi di Gua Thur. Dia dinikahi pemuda Quraisy bernama Zubair bin Awwam dan dikurniakan anak bernama Abdullah bin Zubair, anak sahabat pertama yang lahir di Madinah pada waktu pasca-peristiwa Hijrah. Cucu Abu Bakar ini pernah menjadi Khalifah umat Islam dalam waktu yang sangat pendek sebelum dibunuh dan disalib oleh Hajjaj bin Yusuf.
  • Aisyah (Ummul Mukminin) binti Abu Bakar - Anak perempuan Abu Bakar as-Siddiq yang dibebaskan oleh ALLAH s.w.t. dari fitnah keji terus dari langit. Isteri yang sangat dikasihi oleh Nabi s.a.w. dan wanita yang paling banyak meriwayatkan hadis Nabi s.a.w. Mempunyai keutamaan yang tidak terbilang.
  • Ummu Kalthum binti Abu Bakar - Tidak pernah melihat wajah ayahnya kerana dilahirkan setelah Abu Bakar wafat. Namun Abu Bakar sudah sedia maklum dengannya sebelum menghembuskan nafas terakhirnya. Beliau telah memaklumkan kepada Aisyah tentang hal ini.
    "Sesungguhnya mereka adalah dua orang saudara lelakimu dan dua orang saudara perempuanmu," kata Abu Bakar menjelang ajalnya.

    "Anak perempuanmu adalah Asma' dan saya. Siapakah seorang lagi anak perempuan yang ayah maksudkan?"

    "Dia adalah anak yang masih berada dalam perut Kharijah. Ayah mempunyai firasat yang bayi yang bakal dilahirkan adalah anak perempuan."

    Ummu Kalthum dinikahi oleh Thalhah bin Ubaidillah yang gugur dalam Perang Jamal.
Peristiwa Ummu Jamil ingin Menyerang Nabi s.a.w.
Abu Bakar sedang duduk bersebelahan Nabi s.a.w., tiba-tiba datang Ummu Jamil isteri Abu Lahab dengan menggenggam seketul batu. Ummu Jamil memandang dengan tajam semua hadirin yang berada di situ sehingga ternampak Abu Bakar, namun dia tidak nampak Nabi s.a.w.
"Abu Bakar! Di manakah sahabatmu itu? Aku dengar dia telah menghinaku. Kalau aku menjumpainya, aku akan tutup mulutnya dengan batu ini. Kamu tahukah di mana dia berada?" tanya Ummu Jamil dengan nada marah, lalu membacakan syair yang mengejek Nabi s.a.w:
"Dia orang hina yang kami selalu tentang
Perintahnya akan selalu kami abaikan
Dan agamanya sangatlah kami benci!"
Kemudian Ummu Jamil pun beredar. Abu Bakar berasa agak takut lalu bertanya kepada Nabi s.a.w.: "Ya Nabi ALLAH! Tidakkah kamu melihatnya dan dia juga melihatmu?"
"Dia tidak dapat melihatku. ALLAH telah menghalang pandangannya dariku," jawab Nabi s.a.w. dengan tenang.
Pernikahan Nabi s.a.w. dengan Saiditina Aisyah binti Abu Bakar
Pada suatu hari, Khaulah binti Hakim telah pergi ke rumah Abu Bakar dan berkata kepada isterinya.
"Wahai Ummu Ruman, kebaikan dan keberkatan apakah yang dilimpahkan oleh ALLAH kepada kamu semua, sehingga Rasulullah mengutusku supaya meminang anak perempuanmu Aisyah bagi pihaknya?"
Ummu RUman berasa sangat gembira dan bersyukur lalu mengkhabarkan kepada suaminya Abu Bakar.
"Adakah anak aku ini boleh dan layak untuk Rasulullah? Bukankah dia anak perempuan dari saudaranya?" tanya Abu Bakar.
Sabda Nabi s.a.w: "Wahai Khaulah, khabarkan kepada Abu Bakar bahawa dirinya hanyalah saudaraku dalam Islam sahaja, dan anak perempuanmu layak untuk menikahiku!"
Selepas mendengar penjelasan Nabi s.a.w., Abu Bakar pun mengundang Khaulah dan Nabi s.a.w. ke rumahnya. Beliau pun menikahkan anaknya Aisyah dengan Nabi s.a.w. Ketika itu usia Aisyah masih enam tahun.
"Saya Masih Ingat, Rasulullah"
Pada satu hari Nabi s.a.w. bertanya kepada sahabat-sahabatnya.
"Siapakah di antara kamu yang ingat perkataan Qiss bin Saidah di Pasar Ukadz?"
Suasana menjadi hening. Tiada siapa pun yang menjawab soalan Nabi s.a.w. Tiba-tiba Abu Bakar bangun dan bersuara.
"Wahai Rasulullah! Saya masih ingat. Ketika itu saya berada di pasar tersebut. Qiss datang dengan menunggang kuda. Kemudian dia berhenti dan dengan suara yang lantang dia berkata..
'Wahai umat manusia, dengarlah dan fahamilah dengan saksama! Apabila telah difahami segeralah kamu manfaatkan! Sesungguhnya orang yang hidup akan mati. Orang yang sudah mati, masanya telah berlalu, setiap yang akan datang, segera akan tiba. Sesungguhnya di atas langit ada berita besar dan di bumi banyak peristiwa yang boleh menjadi pengajaran. Ranjang tidur yang terukir indah, atap yang tinggi menjulang, galaksi yang bergerak mengikut putarannya, lautan yang tiada pernah mengering, malam yang gelap gelita dan langit yang memiliki banyak galaksi bintang!'
Qiss bersumpah bahawa ALLAH memiliki agama yang lebih dia cintai dari agama yang kamu semua anuti ini. 'Mengapa saya masih melihat orang pergi, kemudian tidak kembali? Adakah kerana mereka gembira dengan sebuah tempat sehingga mereka menetap di sana? Atau kerana  tertinggal, kemudian dia tertidur lena di sana?'
Seterusnya Qiss melantun bait-bait syairnya:
'Dua generasi pertama yang telah
pergi kita boleh mengambil pengajaran dari mereka
Ketika aku saksikan arus kematian mendekati
Tiada cara untuk menghalaunya kembali
Aku saksikan seluruh kaumku menghadapinya
Baik pembesar atau orang biasa, satu persatu
Kini aku menjadi yakin, bahawa tiada cara bagiku
Untuk menghindar dari suratan takdir
seperti yang menimpa semua bangsaku.'
Abu Bakar Menyelamatkan Bilal
Bilal bin Rabah merupakan seorang yang berhati suci dan sangat sempurna keislamannya. Beliau merupakan anak kepada Hamamah. Pada suatu hari yang sangat panas, Bilal telah diheret keluar oleh Umayah bin Khalaf ke hamparan pasir yang panas di kota Mekah. Umayah kemudian menelentangkan Bilal dan menghempap tulung rusuk Bilal dengan batu besar.
Umayah bertindak sedemikian selepas mengetahui Bilal memeluk Islam. Dia berasa sangat marah dan mengugut untuk terus menyiksa Bilal hingga mati sekiranya Bilal tidak mahu berpaling dari ajaran Muhammad s.a.w.
Bilal sedikit pun tidak menghiraukan ugutan Umayah, sebaliknya menghadapi seksaan tersebut dengan terus-menerus melafazkan ucapan yang mengharukan: "Ahad.. Ahad.. Ahad.."
Waraqah bin Naufal telah melalui kawasan Bilal diseksa dan menyaksikan kejadian tersebut. Beliau berkata kepada Umayah dan konco-konconya: "Demi ALLAH, sekiranya kamu bunuh dia dengan cara sebegini, saya akan menjadikannya sebagai orang yang paling saya sayangi!"
Tidak lama kemudian Abu Bakar As-Siddiq juga melalui kawasan tersebut. Dia melihat Bilal diseksa dengan cara yang sangat keji, lalu menghampiri Umayah yang kejam itu.
"Tidak takutkah kamu pada ALLAH akan apa yang kamu lakukan pada orang miskin ini?  Sampai bila kamu akan menyiksanya begini?" Tanya Abu Bakar kepada Umayah.
"Kamu yang merosakkannya. Selamatkan dia kalau kamu mahu!" sahut Umayah.
"Baik.. saya akan lakukan. Saya memiliki hamba yang lebih kuat dan lebih hitam darinya. Saya akan menyerahkannya kepada kamu sebagai ganti," kata Abu Bakar.
Umayah bersetuju dengan tawaran Abu Bakar. Abu Bakar menyerahkan hambanya sebagai ganti untuk membebaskan Bilal. Setelah memiliki Bilal, Abu Bakar memerdekakannya.
Abu Bakar Menyelamatkan Hamba Perempuan Bani Mu'mal
Umar Al-Khattab (ketika ini masih musyrik) mempunyai seorang hamba perempuan yang selalu diseksa supaya meninggalkan agama Islam. Umar telah memukul wanita itu terus-menerus sehingga berasa bosan.
"Aku meminta maaf padamu kerana tidak henti-henti memukulmu sehingga bosan," kata Umar.
"Begitu pula yang ALLAH lakukan kepadamu," jawab wanita tersebut.
Selepas kejadian itu, Abu Bakar telah membeli hamba sahaya Umar yang kemudiannya dimerdekakan. 
Sumber:
150 Kisah Teladan Abu Bakar As-Siddiq r.a. - Sahabat Karib Rasulullah s. a. w. oleh Ahmad Abdul Aal Al-Tahtawi (Al Hidayah Publication 2010)

Gambar:

 Akan Datang:
Kisah Abu Bakar as-Siddiq sejak Memeluk Islam sehingga Berhijrah ke Madinah
--insya-ALLAH (",)--

Jan 18, 2011

KISAH LUQMAN AL-HAKIM DENGAN TELATAH MANUSIA

     Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata, 'Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki."

     Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu."

     Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, "Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh menyiksakan himar itu."

     Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai."

     Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihatai anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah s.w.t. sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

     Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."

MENANGIS KERANA TAKUTKAN ALLAH S.W.T.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya."


     Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka. Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata, "Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada ALLAH s.w.t., maka ALLAH s.w.t. mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."

     Akhirnya ALLAH s.w.t. mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada ALLAH s.w.t. Malaikat Jibril a.s. mengumumkan, "Telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut."




     Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. ALLAH s.w.t. berfirman yang bermaksud, "Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan." (Surah al-Jatsiyah ayat 28)

      Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi sahaja yang akan berkata, "Umatku, umatku." Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.


     Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad s.a.w. berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali."

     Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad s.a.w." Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah s.a.w. meraihnya.

     Berkata Jibril a.s. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda s.a.w. mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu.

     Setelah itu Rasulullah s.a.w. pun bertanya kepada Jibril a.s. "Wahai Jibril, Apakah air itu?"

     Jibril berkata, "Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah s.w.t. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allah s.w.t.

     Telah bersabda Rasulullah s.a.w., " Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata."


PAHLAWAN NERAKA

     Suatu hari satu pertempuran telah berlaku di antara pihak Islam dengan pihak Musyrik. Kedua-dua belah pihak berjuang dengan hebat untuk mengalahkan antara satu sama lain. Tiba saat pertempuran itu diberhentikan seketika dan kedua-dua pihak pulang ke markas masing-masing. Di sana Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat telah berkumpul membincangkan tentang pertempuran yang telah berlaku itu. Peristiwa yang baru mereka alami itu masih terbayang-bayang di ruang mata. Dalam perbincangan itu, mereka begitu kagum dengan salah seorang dari sahabat mereka iaitu, Qotzman. Semasa bertempur dengan musuh, dia kelihatan seperti seekor singa yang lapar membaham mangsanya. Dengan keberaniannya itu, dia telah menjadi buah mulut ketika itu.

     "Tidak seorang pun di antara kita yang dapat menandingi kehebatan Qotzman," kata salah seorang sahabat.

     Mendengar perkataan itu, Rasulullah s.a.w. pun menjawab, "Sebenarnya dia itu adalah golongan penduduk neraka."

     Para sahabat menjadi hairan mendengar jawapan Rasulullah s.a.w. itu. Bagaimana seorang yang telah berjuang dengan begitu gagah menegakkan Islam boleh masuk dalam neraka? Para sahabat berpandangan antara satu sama lain apabila mendengar jawapan Rasulullah s.a.w. itu.


     Rasulullah s.a.w. sedar para sahabatnya tidak begitu percaya dengan ceritanya, lantas Baginda s.a.w. berkata, "Semasa Qotzman dan Aktsam keluar ke medan perang bersama-sama, Qotzman telah mengalami luka parah akibat ditikam oleh pihak musuh. Badannya dipenuhi dengan darah. Dengan segera Qotzman meletakkan pedangnya ke atas tanah, manakala mata pedang itu pula dihadapkan ke dadanya. Lalu dia terus membenamkan mata pedang itu ke dalam dadanya."
     "Dia melakukan perbuatan itu adalah kerana dia tidak tahan menanggung kesakitan akibat dari luka yang dialaminya. Akhirnya dia mati bukan kerana berlawan dengan musuhnya, tetapi membunuh dirinya sendiri. Melihatkan keadaannya yang parah, ramai orang menyangka yang dia akan masuk syurga. Tetapi dia telah menunjukkan dirinya sebagai penduduk neraka."

     Menurut Rasulullah s.a.w. lagi, sebelum dia mati, Qotzman ada mengatakan, katanya, "Demi Allah aku berperang bukan kerana agama tetapi hanya sekadar menjaga kehormatan kota Madinah supaya tidak dihancurkan oleh kaum Quraisy. Aku berperang hanyalah untuk membela kehormatan kaumku. Kalau tidak kerana itu, aku tidak akan berperang!"

Jan 17, 2011

PENDAKWAH DARI HUJUNG KOTA: KISAH HABIB AN-NAJAR

Kisah ini dikatakan terdapat dalam surah Yaasiin. Wallahualam.
Sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., terdapat sebuah negara bernama Intakiyah yang diperintah oleh raja Anticus bin Anticus. Rakyat dan raja di negara ini tidak mengenal Tuhan yang menciptakan mereka. Sebaliknya mereka membuat tuhan-tuhan berhala dengan tangan mereka sendiri dan kemudian menyembahnya.
ALLAH tidak membiarkan rakyat negeri itu terus tersesat dalam kemusyrikan, lalu ALLAH melantik dua orang Rasul yang menurut riwayat bernama Shaiq dan Shaduq. Setelah mendapat perintah dari ALLAH, pergilah kedua-dua orang Rasul ini menuju ke negeri Intakiyah untuk menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepada mereka.
Dalam perjalanan ke negeri tersebut, Nabi Shaiq dan Nabi Shaduq telah terserempak dengan seorang tukang batu yang bernama Habib An-Najar. Dia adalah seorang ahli ibadah kepada ALLAH dan bekerja sebagai tukang batu (an-Najar). Oleh sebab itu dia digelar Habib an-Najar. Dalam perbualan itu mereka memperkenalkan diri masing-masing. Habib berkata bahawa dia mengasingkan diri dari kaumnya kerana mereka menyembah berhala sementara Habib menyembah ALLAH. Dua orang utusan itu menerangkan bahawa mereka merupakan utusan ALLAH yang ditugaskan untuk menyeru penduduk Intakiyah agar kembali menyembah ALLAH. Pada waktu itu juga Habib terus menyatakan keimanannya kepada dua orang utusan itu setelah mendapat bukti-bukti yang jelas. Habib an-Najar amat gembira kerana menerima ajaran dua utusan itu, maka jadilah dia seorang pengikut dan penyokong utusan ALLAH yang setia.


Dua orang utusan itu meneruskan perjalanan mereka dengan menuju ke bandar Intakiyah sementara Habib An-Najar tetap berada di pondoknya di luar kota. Apabila sampai di Intakiyah, mulailah kedua-duanya menjalankan tugas mereka. Kedua-duanya pergi bertemu orang-orang yang menyembah berhala dan dikatakan kepada mereka bahawa benda yang mereka sembah itu bukanlah tuhan yang sebenar.
Tuhan yang sebenar dan yang berhak disembah adalah ALLAH. Oleh kerana itu hendaklah menyembah ALLAH, maka mereka akan selamat. Ternyata kedatangan kedua-dua utusan itu mendapat tentangan yang hebat kerana dianggap telah menghina tuhan-tuhan mereka. Sebahagian daripada mereka ada yang hendak membelasah utusan-utusan tersebut namun sempat ditahan oleh yang lain. Akhirnya berita kedatangan kedua utusan itu sampai ke pengetahuan raja. Terkejutlah raja apabila mengetahui bahawa ada orang yang mencabar dan mencaci tuhannya. Keduanya pun ditangkap dan dihadapkan kepada raja untuk disoal siasat.
Kata raja: “Hai lelaki! Apakah ada tuhan selain tuhan yang kami sembah ini?”
Dengan tegas dan berani kedua-duanya menjawab, “Ya! Malah tidak ada tuhan selain Dia!”
“Siapa?” tanya raja dengan marah.
Kata utusan, “ALLAH! Dialah yang menciptakan tuanku dan segala yang ada di dunia ini.”
Mendengar jawapan utusan, maka murkalah raja. Berkata raja: “Kalau demikian maka benarlah berita yang tersebar bahawa kamu berdua ini telah menghina tuhan-tuhan yang disembah oleh raja dan rakyat di sini!”
Raja memperintahkan agar kedua-dua utusan itu dimasukkan ke dalam penjara. Maka terbantutlah tugas dakwah mereka.
Kerana kedua-dua utusan itu ditolak oleh penduduk Intakiyah, ALLAH telah melantik seorang lagi utusan untuk memperkuatkan dan membantu dua orang utusan yang telah gagal itu. Menurut setengah riwayat yang tersebut dalam kitab Tafsir Yasin (Hammi Zadah), nama utusan ketiga adalah Syam’un. Dia mempunyai pemikiran yang lebih tinggi dan pandai berdiplomasi.
Apabila Syam’un sampai ke bandar, dia tidak terus menyeru manusia ke jalan yang benar, tapi memikirkan bagaimana hendak menggunakan cara yang halus. Pertama sekali dia pergi berjumpa dengan dua utusan yang telah dipenjarakan. Dengan kepintarannya, dia dapat bertemu dengan mereka setelah menyamar sebagai seseorang yang ingin menghadiahkan makanan. Dalam kesempatan itu, Syam’un sempat memperkenalkan dirinya sebagai utusan ALLAH yang juga ditugaskan untuk menolong dua utusan yang terdahulu.
Kepada kedua utusan terdahulu Syam’um memberitahu bahawa tindakan keduanya terlalu terburu-buru, sehingga usaha mereka tidak berhasil. Kata Syam’un lagi, “Kalian ini seperti seorang perempuan yang inginkan anak, namun tidak mendapatnya. Setelah usia tua barulah dia mendapat anak. Kerana usianya yang sudah senja, dia ingin anaknya cepat besar dengan harapan dapat melihat kejayaannya. Lalu diberi anaknya itu makan banyak-banyak, padahal perut anak itu masih kecil dan tidak dapat menerima makanana yang banyak. Maka akibatnya binasalah anak itu dan harapan wanita itu pun berkecai.” Dengan itu, kedua utusan terdahulu menyedari kesilapan mereka.
Menurut setengah riwayat, Syam’un berhasil menyamar dan bergaul dengan orang istana. Apabila dia telha berjaya menghadap raja maka dia pun menanyakan hal dua orang yang dipenjarakan. Dengan pura-pura menjadi orang tengah, Syam’un berhasil mempengaruhi raja agar dua orang utusan dibawa ke istana untuk diminta bukti-bukti yang menunjukkan bahawa keduanya benar.
“Siapakah yang menyuruh kalian berdua datang ke sini?” tanya Syam’un memulakan perbicaraan.
“Tuhan kami yang menjadikan langit dan bumi serta isinya iaitu ALLAH!”
“Bagaimana sifat Tuhanmu itu?”
“Dia boleh menjadikan apa-apa yang dikehendakinya.”
“Kalau begitu dapatkah engkau berdoa kepada Tuhanmu agar dia memperkenan sesuatu dari kami?”
Utusan berdua menyatakan persetujuan mereka.. Maka didatangkan kepada mereka seorang buta untuk dicelikkan. Kedua-dua utusan itupun berdoa dan celiklah orang buta tersebut. Kemudian diujinya lagi dengan menyuruh mereka menghidupkan orang mati. Selepas dua utusan itu bermohon pada ALLAH, maka hiduplah orang yang mati tadi.
Maka hairanlah orang yang menyaksikan kejadian itu. Dalam kesempatan itulah Syam’un berkata kepada raja: “Lihatlah tuanku! Betapa hebatnya Tuhan kedua-dua lelaki ini! Alangkah baiknya jika tuanku meminta juga kepada tuhan-tuhan yang tuanku sembah perkara seumpama itu. Mesti ia akan menjadi kemegahan kepada tuhan tuanku dan tuanku sendiri!”
Mendengar keterangan Syam’un, maka orang ramai mulai curiga kepadanya. Mereka menuduh Syam’un sebagai teman kepada dua orang lelaki yang sedang menjalani hukuman itu.
Maka ketiga-tiganya pun berterus-terang: “Sesungguhnya kami ini adalah orang yang diutus kepadamu.” Lalu ketiga-tiganya menerangkan bahawa mereka telah diutus oleh ALLAH untuk mengajak mereka agar menyembah dan bertauhid kepada-Nya. Maka terjadilah perbalahan dan perdebatan yang berpanjangan di kalangan mereka selama utusan-utusan itu menyampaikan dakwahnya. Walau dengan bukti-bukti yang nyata, kaum negeri itu tidak juga mengikuti seruan utusan-utusan itu. Mereka tidak mempercayai bahawa tiga orang itu benar-benar utusan ALLAH.
Kata mereka: “Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami. Tuhan yang Maha Pengasih tidak menurunkan apa-apa. Kamu ini tidak lain hanyalah pendusta belaka!”
Terhadap tuduhan orang ramai itu, para utusan berkata: “Tuhan kami lebih mengetahui bahawa kami ini benar-benar diutus kepada kamu. Dan kewajipan kami hanya menyampaikan (perintah ALLAH) dengan jelas.”
Ketegangan semakin memuncak apabila penduduk bandar itu menuduh ketiga-tiga utusan sebagai pembawa keributan, perpecahan, pergaduhan dan malapetaka kepada rakyat. Maka para pemimpin kaum telah memberikan kata dua kepada para utusan, sama ada mahu menghentikan kegiatan dakwah mereka ataupun menerima hukuman yang berat.
Mereka mengancam: “Sesungguhnya jika kamu tidak menghentikan semua ini, kami akan rejam kamu dan pastilah kamu akan mendapatkan seksaan yang pedih dari kami.”
Berkatalah para utusan: “Kemalangan kamu itu adalah kerana kamu sendiri. Apakah jika kamu diberi peringatan (kamu bernasib malang)? Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas.”
Keterangan itupun tidak membuat mereka bertenang. Sebenarnya mereka sedar bahawa kemalangan itu disebabkan mereka sendiri yang menentang para utusan. Hati mereka sudah dirasuk syaitan, mereka tidak mahu menerima kenyataan ini lalu bertambah marah. Para pemimpin saling menghasut bahawa kehadiran mereka membawa malang.
Pada saat-saat genting itulah datang seorang lelaki dari hujung kota dalam keadaan tergesa-gesa dengan niat untuk menyedarkan kaumnya. Berkata dia: “Wahai kaumku, ikutlah para utusan itu!”
Orang ramai terkejut dan kehairanan melihat lelaki itu. Siapakah dia?
Lelaki itu adalah Habib yang bekerja sebagai tukang batu (Habib An-Najar) oleh itu dia digelar Habibunnajar. Apabila didengarnya kaumnya hendak menyiksa utusan yang bertiga itu, maka dia pun segera meninggalkan pekerjaannya dan bergegas bertemu kaumnya yang sedang marah itu.
Kaumnya bukan sahaja tidak menerima ajakan Habibunnnajar, malah menjadi bertambah marah. Habib berkata, “Ikutilah orang yang tidak meminta upah kepadamu, dan mereka itu adalah orang yang mendapat petunjuk.”
Dengan ucapannya itu Habib menerangkan kepada kaumnya bahawa tiga lelaki itu benar-benar utusan ALLAH kerana:
1.     Mereka tidak meminta upah atau balasan atas ajaran yang mereka bawa,
2.    Para utusan itu adalah orang yang mendapat petunjuk. Ini kerana ajaran yang dibawanya senang sahaja yakni beriman kepada ALLAH supaya tidak menyembah selain Dia. Dengan demikian ajarannya tidak berdolak-dalik dan tidak menyusahkan.

Berbagai dalil dikemukakan oleh lelaki yang berlari dari hujung kota untuk meyakinkan kaumnya, namun tidak berhasil juga. Kaumnya tetap membantah.
Berserulah Habib kepada dirinya sendiri sebagai sindiran kepada kaumnya: “Mengapa aku tidak menyembah kepada (Tuhan) yang telah menciptakanku dan hanya kepadaNya kamu semua dikembalikan? Apakah aku akan menyembah kepada tuhan-tuhan selain ALLAH? Jika Tuhan yang Maha Pengasih hendak memudaratkan aku, maka tidaklah berguna untukku syafaat mereka sedikitpun jua dan mereka pula tidak akan dapat menyelamatkan diriku. Kalau demikian, jadilah aku dalam kesesatan yang nyata.” (Surah Yaasiin:22-24)
Kaum Habib bertambah marah lalu berteriak agar Habib dibunuh saja kerana dianggap sebagai pengacau. Maka berkerumunlah orang ramai di bandar itu lalu memukul, membaling dan menumbuk Habib. Akibatnya muka Habib lebam-lebam, tubuhnya penuh dengan darah dan lemah, maka dia pun terjatuh menggelepar di atas tanah. Setelah jatuh, mereka memijak tubuhnya hingga keluar isi perutnya.
Kini lelaki dari hujung kota tidak berdaya lagi dan orang ramai puas melihat dia tenat dan kemudian mati. Sementara para penganiaya bersorak kegembiraan kerana puas melakukan kekejaman, roh Habib terbang diiringkan oleh para malaikat dengan penuh penghormatan dan kemuliaan dan di situlah datang panggilan Tuhan menjemput Habib: “Sila masuk ke dalam Syurga!” (Yaasiin:26)
Sebaik sahaja Habib membuka matanya di alam barzakh itu, nampaklah olehnya keindahan syurga yang dijanjikan untuknya. Rasa penat dan letih selama berjuang membela agama kini hilang. Rasa sakit-sakit kerana dipukul sudah tidak dirasakannya kembali. Semuanya bertukar menjadi kenikmatan, keindahan dan keseronokan. Begitulah balasan untuk orang mati syahid. Melihatkan semua ini, Habib berasa terkilan kerana kaumnya tidak mahu menikmati semua kenikmatan ini.
Berkatalah Habib: “Ah, sayang! Alangkah baiknya jika kaumku mengetahui!” (Yaasiin:26)
Kini giliran kaumnya pula untuk menerima balasan dari Tuhan atas kelakuan mereka menentang para utusan dan menyiksa dan membunuh penganjur dakwah. Kepada mereka Tuhan tidak menurunkan tentera-tentera yang hebat, bom atom atau peluru berpandu dari langit, tetapi cukup dengan memperdengarkan satu pekikan kuat yang dilakukan oleh malaikat. Satu pekikan itu sahaja sudah mampu menggegarkan gunung dan menggoncangkan bumi tempat mereka berpijak, maka terperanjatlah mereka semua. Dan akhirnya mereka semua mati dalam keadaan yang sangat menyedihkan akibat dihempap gunung atau terbenam ke dalam tanah.

Jan 16, 2011

SEJARAH DAN ASAL-USUL AZAN





Malam semalam saya dengar ceramah di masjid yang berdekatan dengan rumah saya. Ceramah kali ini adalah berkisar tentang sejarah dan asal usul azan.

Berikut ini saya kongsikan intipati ceramah yang sempat saya catatkan.
  • Solat telah diperintahkan oleh Allah setelah peristiwa Israk Mikraj.
  • Nabi SAW mempelajari bagaimana menunaikan solat semasa Israk Mikraj.
  • Pada mulanya, solat dilakukan tanpa azan dan tidak secara berjemaah.
  • Setelah hijrah ke Makkah, Ummat Islam semakin bertambah ramai. Nabi berfikir bagaimana caranya untuk memanggil orang untuk datang ke Masjid bersolat jemaah.
  • Nabi SAW telah adakan mesyuarat bersama dengan para sahabat radhiallahuanhum untuk menentukan cara memanggil orang bersolat jemaah.
Semasa bermesyuarat, para sahabat telah memberikan pelbagai cadangan, antaranya:

1. Menaikkan bendera pada tiang yang tinggi apabila tiba waktu solat. Apabila orang ramai melihat bendera telah dinaikkan, maka ini bermakna waktu solat telah masuk dan mereka mesti pergi ke masjid untuk solat berjemaah.

(Nabi hanya mendiamkan diri saja apabila sahabat memberikan cadangan ini. Ini menunjukkan nabi kurang bersetuju dengan cadangan tersebut kerana kalau waktu malam, pastinya bendera tidak akan dapat dilihat.)


2. Ada sahabat mencadangkan untuk menghidupkan atau memasang api apabila tiba waktu solat. Kalau pasang api, samaada siang atau pun malam, orang akan dapat melihatnya.

(Mendengar cadangan ini, Nabi SAW berubah wajah. Baginda kelihatan bermasam muka sedikit. Ini adalah kerana amalan memasang api adalah amalan Majusi. * Majusi menyembah api sebagai Tuhan mereka)


3. Ada juga sahabat mencadangkan untuk meniup trompet apabila tiba waktu solat.

(Nabi SAW tidak bersetuju juga dengan cadangan ini kerana amalan meniup trompet adalah amalan Yahudi)


4. Seorang sahabat membuat cadangan untuk membunyikan loceng.

(Cadangan ini juga Nabi SAW tidak setuju sebab ia amalan orang Nasoro/Kristian)


5. Saiyidina Umar Radhiallahuanhu (r.a.) akhirnya mencadangkan supaya melantik seseorang naik ke tempat yang tinggi dan melaungkan azan yang berbunyi ; “Assolatu jaami’ah!” (sebanyak 2 kali)

(Nabi SAW telah bersetuju dengan cadangan Saiyidina Umar, maka Bilal pun dilantik untuk melaungkan azan dengan kalimah tersebut)


Setelah bermesyuarat, para sahabat telah balik ke rumah masing-masing. Mereka masih memikirkan cara terbaik untuk memanggil orang untuk bersolat jemaah.


Seorang sahabat Nabi SAW iaitu Abdullah Bin Zaid r.a. telah tertidur dan bermimpi berjumpa dengan seorang lelaki yang membawa loceng. Lalu, Abdullah Bin Zaid telah meminta untuk membeli loceng yang dibawa oleh lelaki tersebut. Lelaki itu bertanya, nak buat apa dengan loceng tu?


Abdullah Bin Zaid telah berkata, ianya adalah untuk digunakan bagi memanggil orang solat berjemaah apabila tiba waktu solat. Lelaki tadi pun berkata bahawa dia mempunyai cara yang lebih baik daripada membunyikan loceng untuk memanggil orang bersolat. Maka, Abdullah Bin Zaid telah meminta lelaki itu mengajarkan caranya.


Lelaki tadi pun terus mengajarkan cara bagaimana azan dan iqamah dilaungkan.



Setelah terjaga dari tidur, Abdullah Bin Zaid R.A telah bertemu dengan Rasulullah SAW dan menceritakan mimpinya itu. Dan Rasulullah berkata, mimpinya itu adalah mimpi yang benar dan lelaki dalam mimpinya itu adalah Malaikat. Maka Rasulullah SAW pun menyuruh Abdullah Bin Zaid mengajarkan kalimah azan tersebut kepada Bilal untuk dilaungkan. (Dan itulah kalimah azan dan iqamah yang kita laungkan sehingga ke hari ini.)


Apabila Bilal melaungkan azan seperti yang diajarkan tersebut, Saiyidina Umar telah mendengar azan tersebut dan terkejut kerana apa yang didengarnya sama seperti apa yang beliau dengar di dalam mimpinya. Rupa-rupanya, Saiyidian Umar juga telah bermimpi sama seperti apa yang Abdullah Bin Zaid bermimpi. Subhanallah, Maha Suci Allah yang merancang semua ini.


Begitulah sejarah dan latar belakang bagaimana azan / iqamah yang kita laungkan hari ini disyariatkan sebagai salah satu syiar Islam.


Sekian, semoga dapat sikit ilmu dari perkongsian ini. Sila sebarkan kepada kawan-kawan lain yer. TQ