Dalam al-Quran, ALLAH s.w.t telah berfirman:
Dalam al-Quran, ALLAH s.w.t telah berfirman:
Terjemahan:
“Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya,
sesudah ia selesai memintalnya kuat teguh dengan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang telah dimeteraikan) sesama kamu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih ramai dari golongan lain. Sesungguhnya ALLAH hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu dan Dia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu pada hari kiamat, apa yang kamu berselisihan padanya.”
sesudah ia selesai memintalnya kuat teguh dengan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang telah dimeteraikan) sesama kamu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih ramai dari golongan lain. Sesungguhnya ALLAH hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu dan Dia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu pada hari kiamat, apa yang kamu berselisihan padanya.”
(Surah An-Nahl 16:92)
Raithah adalah seorang gadis yang telah meningkat dewasa dan cukup layak untuk mendirikan rumah tangga. Teman-temannya telah ramai yang dipinang dan bergelar isteri orang, namun dirinya masih belum dilamar. Raithah berasa gusar dan sedih. Ayahnya yang kasihan melihat keadaannya cuba menghiburkan anak kesayangannya.
“Anakku, ayah akan pergi ke berhala Hubal. Dengan menggunakan kedua-dua tanganku ini, ayah akan menaburkan harta yang banyak kepadanya. Ayah akan basahi kakinya dengan darah dari biri-biri yang gemuk, sehingga ia meredai dirimu dan mengirimkan kepadamu seorang pemuda dari keturunan mulia.”
Raithah berasa gembira mendengar kata-kata ayahnya. Dia pun menunggu dengan penuh harapan, namun tanda-tanda yang dinantikannya tidak muncul-muncul. Keadaan itu menyebabkan Raithah sering tertanya-tanya: “Mengapakah tiada lelaki yang mahu meminangku? Ayahku Amru seorang yang mempunyai kedudukan yang mulia dari kalangan kaum Bani Makhzum. Dan aku juga.. adakah aku tidak mempunyai paras yang menarik?”
Akibat terlalu memikirkan persoalan-persoalan tersebut, Raithah menjadi sangat tertekan. Dia sering menangis tidak berhenti-henti sehingga wajahnya menjadi kusam tidak berseri dan berkerut.
Pada suatu hari, ketika Raithah masih bersedih mengenangkan nasibnya, dia terdengar bunyi tapak kaki menghampiri pintu biliknya. Ibunya masuk ke bilik dan memujuknya dengan lembut.
“Wahai anakku sayang, janganlah kamu bersedih lagi kerana seorang dukun perempuan dari Thaif memberitahu ibu bahawa hari perkahwinanmu akan tiba pada tibanya bulan purnama.”
“Benarkah apa yang ibu katakan ini?” tanya Raithah dengan harapan yang membunga.
“Hak seluruh Tuhan, apa yang ibu katakan ini adalah benar belaka.”
Raithah menarik nafas lega seraya berkata: “Sebenarnya ibu tidak pergi pergi ke Thaif untuk menemui dukun perempuan itu. Ibu hanya mahu memberi harapan kosong pada saya sahaja.”
“Tidak anakku,” ibu Raithah cuba meyakinkan anaknya. “Ibu menjumpai bomoh tersebut malam tadi. Dia dipikul oleh sebuah tandu oleh beberapa orang ketika mengelilingi Kaabah. Tubuhnya lumpuh dan lemah. Ketika sampai ke telaga Zamzam, ibu mendekatinya dan meletakkan kepingan emas di tangannya. Ibu bertanya kepadanya tentang perihal jodohmu. Selepas memandang langit ke arah bulan sabit, dia berkata: ‘Perkahwinan anakmu akan berlangsung apabila bulan sabit itu menjadi bulan purnama.’”
Setelah mendengar penjelasan ibunya, Raithah kembali ceria. Tuhan-tuhan berhala telah meredhainya dan seorang lelaki akan diutuskan untuk meminangnya. Ayah Raithah juga diberitahu tentang perkara itu dan dia berasa sungguh gembira.
Hari-hari terus berlalu. Setiap hari Raithah menanti kedatangan lelaki yang akan meminangnya. Apabila mendengar tapak kaki menghampiri rumahnya, Raithah akan cepat-cepat menjenguk dengan harapan tapak kaki tersebut milik bakal suaminya. Pada malam hari pula dia akan naik ke beranda rumahnya yang berdekatan dengan Kaabah lalu mengamati lelaki dan perempuan yang sedang tawaf mengelilingi Kaabah tanpa putus-putus. Musim haji akan tiba tak lama lagi dan para pengunjung sudah ramai yang membanjiri Kota Mekah. Pelbagai jenis barangan dibawa oleh penziarah-penziarah tersebut, di antaranya haiwan ternakan yang akan dijadikan korban kepada berhala-berhala.
Akhirnya malam yang dinanti-nantikan pun tiba. Bulan purnama memancar penuh, namun masih tidak ada lelaki yang datang ke rumah untuk melamarnya. Ibu Raithah menghampiri anaknya yang sedang bersedih.
“Percayalah anakku, dukun perempuan itu tidak berbohong.”
“Tapi ibu, kalau dukun itu tidak berbohong mengapa masih tidak ada lelaki yang meminang saya? Teman-teman sebaya saya semuanya sudah berkahwin.”
“Engkau pasti akan berkahwin bila tiba bulan purnama.”
“Malam bulan purnama sudah berlalu ibu.”
“Tidak semestinya malam ini. Mungkin bomoh itu maksudkan bulan depan atau seterusnya.”
Raithah tidak dapat menahan lagi pujukan ibunya. “Saya tidak percaya! Saya tidak percaya!!!” Suasana menjadi hening dan Raithah menangis dengan pilu.
Amru, ayah Raithah berasa sedih mendengar perbualan antara isteri dan anaknya itu. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya.
Siang malam silih berganti, namun Raithah masih belum menemui jodohnya. Dia juga semakin meningkat usia. Ayahnya jatuh sakit dan meninggal dunia sebelum sempat melihat anak kesayangannya berkahwin. Dia meninggalkan harta pusaka yang banyak untuk keluarganya.
Hari terus berlalu. Raithah menjadi anak dara tua yang selalu murung dan bersedih. Dia tahu dukun wanita dari Thaif itu berdusta, begitu juga dukun-dukun lain yang meramal jodohnya. Mereka hanya mahukan wang yang dibayar oleh ibunya.
Raithah duduk seorang diri dan berkata kepada dirinya sendiri: “Berapakah umurku sekarang? Empat puluh tahun? Oh tidak! Umurku lebih dari empat puluh tahun. Empat puluh dua tahun? Atau kurang? Ibuku selalu berbohong tentang umur sebenarku. Tak apalah, masih ada lagi gadis yang lebih tua dariku tapi masih belum berkahwin.”
Pada suatu hari, rumah Raithah didatangi oleh ibu saudaranya yang sudah berbelas tahun tidak berjumpa dan tidak pernah mengunjungi rumah mereka. Dia datang bersama anak lelakinya yang tampan yang berusia sekitar dua puluh tahun.
Ibu Raithah berpelukan mesra dengan adiknya. Ibu saudara Raithah memperkenalkan anak lelakinya kepadanya.
“Ini anakku, Sokher.”
Raithah tertanya-tanya. Mengapakah ibu saudaranya memperkenalkan dia kepada Sokher? Adakah anak muda yang kacak dan jauh lebih muda ini yang akan meminangnya?
“Selamat bertemu Raithah,” teguran Sokher mematikan lamunan Raithah.
“Selamat bertemu sepupuku,” jawab Raithah dengan perlahan-lahan.
Benarlah ibu saudara Raithah dan anaknya datang untuk meminang dia. Mereka memutuskan untuk melangsungkan perkahwinan sebulan kemudian. Namun begitu, Raithah masih ragu-ragu dengan perkara yang berlaku. Dia hairan mengapa ibu saudara yang tidak pernah melawatnya tiba-tiba datang melamarnya? Mereka anak beranak juga berjanji untuk tinggal di Mekah selepas Raithah dan Sokher menikah.
Dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak di perkampungan Bani Tamim, Sokher berbincang dengan ibunya tentang tindakan mereka melamar Raithah.
“Raithah memang tidak cantik,” kata si ibu. “Tetapi hartanya banyak.”
“Mengapa saya harus melakukannya, ibu?”
“Kamu boleh gunakan hartanya sebagai modal untuk berdagang. Selepas itu kamu bolehlah berkahwin dengan mana-mana gadis yang kamu sukai. Buatlah apa saja kamu suka, yang penting jangan sampai harta kekayaan Raithah lepas dari genggamanmu.”
Menjelang hari perkahwinan, ibu Raithah pula meninggal dunia. Raithah semakin sepi dan terseksa. Dia merasa risau Sokher tidak akan kembali seperti yang dijanjikan.
Tidak berapa lama kemudian, Sokher pun datang untuk melangsungkan perkahwinan dengannya. Sokher berasa senang hati kerana ibu Raithah sudah meninggal dunia. Ini memberikan kelapangan kepadanya untuk menjalankan niat jahatnya merampas harta Raithah.
Perkahwinan Raithah dan Sokher pun berlangsung. Raithah berasa sungguh bahagia menikmati kehidupan berumah tangga bersama-sama suaminya. Dia pergi menghadap berhala-berhala di Kaabah untuk mempersembahkan sajian sebagai mensyukuri kebahagiaan yang dikecapinya.
Sepulangnya Raithah ke rumah, dia mendapati suaminya sedang duduk termenung dengan wajah yang murah. Raithah menghampiri suaminya.
“Wahai suamiku, mengapakah engkau kelihatan bermuram durja?” tanya Raithah.
“Tidak ada apa-apa,” jawab Sokher bersembunyi.
“Sokher, sudah lebih seminggu kita bernikah, namun engkau tidak pernah bersikap begini.”
Sokher lantas menjawab: “Aku kebosanan. Aku jemu.”
Raithah tersentak. Hatinya tersinggung mendengar jawapan suaminya. “Begitu cepat sekali engkau bosan denganku, Sokher?”
“Bukan begitu Raithah,” jawab Sokher pantas. “Bagaimana aku boleh bosan terhadapmu, sedangkan engkau itu isteriku dan anak makcikku.”
“Kalau begitu beritahulah aku apa masalahmu.”
“Aku ingin pergi berdagang ke Syam untuk memperoleh keuntungan yang banyak.”
“Tapi mengapa? Harta yang ditinggalkan ayahku cukup untuk menampung kehidupan kita berdua.
“Tapi aku tidak mahu menjadi beban terhadap sesiapa,” Sokher mencari helah.
“Engkau bukan beban bagiku! Engkau suamiku! Hartaku adalah hartamu jua!”
“Kalau begitu,” Sokher berkata. “Berikanlah aku modal yang secukupnya untuk aku melakukan persiapan mengikuti kafilah yang akan pergi ke Syam.”
Dengan cemas Raithah bertanya, “Adakah engkau akan meninggalkanku Sokher?”
“Aku pergi hanya untuk sebulan atau dua bulan, Raithah,” Sokher cuba meyakinkan. “Kemudian aku akan kembali kepadamu untuk selamanya.”
“Bilakah engkau akan berangkat ke sana?”
“Beberapa hari lagi.”
Beberapa bulan berlalu sejak Sokher meninggalkan rumah untuk berdagang di Syam, namun tiada khabar berita tentangnya yang diterima oleh Raithah. Raithah bertanya kepada penduduk Mekah yang biasa berulang-alik ke Syam sama ada Sokher ada mengikuti mereka. Dia berasa cemas bila mereka mengatakan Sokher tidak pernah mengikuti mereka ke Syam.
Raithah berasa curiga dan bimbang. Apa yang telah terjadi kepada Sokher? Adakah dia telah mati? Adakah dia telah dirompak dan dibunuh? Akhirnya dia membuat keputusan untuk menjejaki Sokher di perkampungannya di kawasan Bani Tamim bagi menyiasat keadaan sebenar.
Seperti yang diduganya, Sokher berada di sana. Namun dia terperanjat apabila mendapat berita bahawa wang Sokher telah hilang dicuri.
“Mengapa engkau tidak memberitahuku tentang keadaanmu?” tanya Raithah setelah dia berjaya menemui Sokher.
“Untuk apa aku harus memberitahu engkau?” Jawab Sokher dengan penuh penghinaan. “Engkau bukan isteriku lagi! Aku takkan membazirkan masa mudaku dengan perempuan tua seperti kamu!”
Raithah berasa sungguh sedih dengan jawapan yang didengarinya. Dia terus jatuh pengsan.
Apabila sedar, dia bertanya kepada penduduk yang mengerumuninya tentang Sokher. Mereka memberitahu bahawa Sokher adalah seorang penjahat yang dibenci dan telah diusir oleh kaumnya disebabkan perbuatannya yang keji.
“Di manakah dia sekarang?” tanya Raithah lemah.
“Dia telah meninggalkan kampung ini bersama konco-konconya. Mereka tidak akan berani kembali ke sini lagi.”
Dengan hati yang remuk redam, Raithah kembali ke Mekah. Dia mengunci diri di dalam bilik dan menangis tidak henti-henti mengenangkan nasibnya. Dia tidak berselera untuk makan dan minum sehingga tubuhnya menjadi kurus kering. Walau bagaimana pun ketika tangannya menyentuh sekeping roti, timbul keinginannya untuk hidup lebih lama. Dia menguatkan hati untuk meneruskan hidup, namun dia tetap bermurung dan patah hati sepanjang hari.
Pada suatu hari, dengan tidak sengaja Raithah tersentuh alat pemintal benang yang biasa digunakan oleh ibunya untuk memintal benang dari bulu biri-biri. Raithah memintal segenggam bulu biri-biri sehingga menjadi benang. Dia memintal sehingga malam. Dengan langkah yang berat dia melangkah untuk menyalakan lampu. Fikirannya terganggu dan kusut ibarat benang-benang yang dipintalnya.
Raithah bertanya kepada dirinya, “Untuk apakah aku memintal benang ini? Apakah aku memerlukan wang? Tidak, harta peninggalan ayahku masih bersisa dengan banyak sekali. Adakah benang yang dipintalnya akan dibuat pakaian? Untuk siapakah pakaian ini? Apakah akan dipakainya untuk mencantikkan diri? Tetapi apa perlunya dia berhias? Untuk siapa dia harus mendandan diri? Adakah untuk dinikmati oleh orang lain? Apakah baju itu akan dihadiahkan kepada orang lain? Apakah untuk anaknya? Dia tidak mempunyai anak. Jadi untuk siapa?
Pertanyaan yang bertalu-talu itu menyebabkan Raithah semakin runsing dan terganggu jiwa. Lantas diambilnya lagi benang-benang yang telah dipintal lalu diputus-putuskan dan dihuraikan kembali. Kemudian dia berbaring di tempat tidur. Dia tertidur hingga ke pagi.
Keesokan harinya, Raithah menyambung kerja memintal benang sehingga sehari suntuk. Usai memintal, dia memerhati hasil pintalannya, lalu seperti orang yang kehilangan akal, dia memutus-mutuskan pula benang tersebut. Kemudian dia diam termenung.
Tiba-tiba Raithah bangun dari tempat duduknya dan pergi ke kedai dengan membawa sekantung wang. Dia membeli sejumlah besar bulu biri-biri. Tetapi adakah dia mampu memintal bulu biri-biri sebanyak itu?
Raithah memanggil kanak-kanak di kampung tersebut dan menyuruh mereka memintal benang dengan upah satu dirham. Tiap-tiap pagi kanak-kanak perempuan di kampung Raithah akan pergi ke rumahnya untuk memintal benang, manakala dia pula akan duduk di tengah-tengah mengawasi mereka.
Petang itu setelah kanak-kanak menerima upah dan pulang ke rumah masing-masing, Raithah mengumpulkan benang yang telah dipintal itu lalu diputus-putusnya lagi.
Dia membayangkan bahawa dunia telah menghancurkan harapan hidupnya, jadi dia harus membalas dengan menghancurkan segala yang ada.
Dalam al-Quran ada disebutkan kisah Raithah. Di sini ALLAH mengingatkan kepada hamba-hamba-Nya agar tidak menggagalkan usaha sendiri, dan tidak mensia-siakan kemampuan tenaga yang dikurniakan-Nya. Kisah Raithah adalah salah satu contoh kegagalan dalam mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
Dalam keadaan yang menyedihkan, kurus, lemah dan tidak bersemangat, Raithah meninggal dunia.
Sumber:
Kisah Wanita dalam Islam oleh Jabir Asysyaal
Terbitan Al- Ramadhan (1997)
No comments:
Post a Comment