Jan 17, 2011

PENDAKWAH DARI HUJUNG KOTA: KISAH HABIB AN-NAJAR

Kisah ini dikatakan terdapat dalam surah Yaasiin. Wallahualam.
Sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., terdapat sebuah negara bernama Intakiyah yang diperintah oleh raja Anticus bin Anticus. Rakyat dan raja di negara ini tidak mengenal Tuhan yang menciptakan mereka. Sebaliknya mereka membuat tuhan-tuhan berhala dengan tangan mereka sendiri dan kemudian menyembahnya.
ALLAH tidak membiarkan rakyat negeri itu terus tersesat dalam kemusyrikan, lalu ALLAH melantik dua orang Rasul yang menurut riwayat bernama Shaiq dan Shaduq. Setelah mendapat perintah dari ALLAH, pergilah kedua-dua orang Rasul ini menuju ke negeri Intakiyah untuk menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepada mereka.
Dalam perjalanan ke negeri tersebut, Nabi Shaiq dan Nabi Shaduq telah terserempak dengan seorang tukang batu yang bernama Habib An-Najar. Dia adalah seorang ahli ibadah kepada ALLAH dan bekerja sebagai tukang batu (an-Najar). Oleh sebab itu dia digelar Habib an-Najar. Dalam perbualan itu mereka memperkenalkan diri masing-masing. Habib berkata bahawa dia mengasingkan diri dari kaumnya kerana mereka menyembah berhala sementara Habib menyembah ALLAH. Dua orang utusan itu menerangkan bahawa mereka merupakan utusan ALLAH yang ditugaskan untuk menyeru penduduk Intakiyah agar kembali menyembah ALLAH. Pada waktu itu juga Habib terus menyatakan keimanannya kepada dua orang utusan itu setelah mendapat bukti-bukti yang jelas. Habib an-Najar amat gembira kerana menerima ajaran dua utusan itu, maka jadilah dia seorang pengikut dan penyokong utusan ALLAH yang setia.


Dua orang utusan itu meneruskan perjalanan mereka dengan menuju ke bandar Intakiyah sementara Habib An-Najar tetap berada di pondoknya di luar kota. Apabila sampai di Intakiyah, mulailah kedua-duanya menjalankan tugas mereka. Kedua-duanya pergi bertemu orang-orang yang menyembah berhala dan dikatakan kepada mereka bahawa benda yang mereka sembah itu bukanlah tuhan yang sebenar.
Tuhan yang sebenar dan yang berhak disembah adalah ALLAH. Oleh kerana itu hendaklah menyembah ALLAH, maka mereka akan selamat. Ternyata kedatangan kedua-dua utusan itu mendapat tentangan yang hebat kerana dianggap telah menghina tuhan-tuhan mereka. Sebahagian daripada mereka ada yang hendak membelasah utusan-utusan tersebut namun sempat ditahan oleh yang lain. Akhirnya berita kedatangan kedua utusan itu sampai ke pengetahuan raja. Terkejutlah raja apabila mengetahui bahawa ada orang yang mencabar dan mencaci tuhannya. Keduanya pun ditangkap dan dihadapkan kepada raja untuk disoal siasat.
Kata raja: “Hai lelaki! Apakah ada tuhan selain tuhan yang kami sembah ini?”
Dengan tegas dan berani kedua-duanya menjawab, “Ya! Malah tidak ada tuhan selain Dia!”
“Siapa?” tanya raja dengan marah.
Kata utusan, “ALLAH! Dialah yang menciptakan tuanku dan segala yang ada di dunia ini.”
Mendengar jawapan utusan, maka murkalah raja. Berkata raja: “Kalau demikian maka benarlah berita yang tersebar bahawa kamu berdua ini telah menghina tuhan-tuhan yang disembah oleh raja dan rakyat di sini!”
Raja memperintahkan agar kedua-dua utusan itu dimasukkan ke dalam penjara. Maka terbantutlah tugas dakwah mereka.
Kerana kedua-dua utusan itu ditolak oleh penduduk Intakiyah, ALLAH telah melantik seorang lagi utusan untuk memperkuatkan dan membantu dua orang utusan yang telah gagal itu. Menurut setengah riwayat yang tersebut dalam kitab Tafsir Yasin (Hammi Zadah), nama utusan ketiga adalah Syam’un. Dia mempunyai pemikiran yang lebih tinggi dan pandai berdiplomasi.
Apabila Syam’un sampai ke bandar, dia tidak terus menyeru manusia ke jalan yang benar, tapi memikirkan bagaimana hendak menggunakan cara yang halus. Pertama sekali dia pergi berjumpa dengan dua utusan yang telah dipenjarakan. Dengan kepintarannya, dia dapat bertemu dengan mereka setelah menyamar sebagai seseorang yang ingin menghadiahkan makanan. Dalam kesempatan itu, Syam’un sempat memperkenalkan dirinya sebagai utusan ALLAH yang juga ditugaskan untuk menolong dua utusan yang terdahulu.
Kepada kedua utusan terdahulu Syam’um memberitahu bahawa tindakan keduanya terlalu terburu-buru, sehingga usaha mereka tidak berhasil. Kata Syam’un lagi, “Kalian ini seperti seorang perempuan yang inginkan anak, namun tidak mendapatnya. Setelah usia tua barulah dia mendapat anak. Kerana usianya yang sudah senja, dia ingin anaknya cepat besar dengan harapan dapat melihat kejayaannya. Lalu diberi anaknya itu makan banyak-banyak, padahal perut anak itu masih kecil dan tidak dapat menerima makanana yang banyak. Maka akibatnya binasalah anak itu dan harapan wanita itu pun berkecai.” Dengan itu, kedua utusan terdahulu menyedari kesilapan mereka.
Menurut setengah riwayat, Syam’un berhasil menyamar dan bergaul dengan orang istana. Apabila dia telha berjaya menghadap raja maka dia pun menanyakan hal dua orang yang dipenjarakan. Dengan pura-pura menjadi orang tengah, Syam’un berhasil mempengaruhi raja agar dua orang utusan dibawa ke istana untuk diminta bukti-bukti yang menunjukkan bahawa keduanya benar.
“Siapakah yang menyuruh kalian berdua datang ke sini?” tanya Syam’un memulakan perbicaraan.
“Tuhan kami yang menjadikan langit dan bumi serta isinya iaitu ALLAH!”
“Bagaimana sifat Tuhanmu itu?”
“Dia boleh menjadikan apa-apa yang dikehendakinya.”
“Kalau begitu dapatkah engkau berdoa kepada Tuhanmu agar dia memperkenan sesuatu dari kami?”
Utusan berdua menyatakan persetujuan mereka.. Maka didatangkan kepada mereka seorang buta untuk dicelikkan. Kedua-dua utusan itupun berdoa dan celiklah orang buta tersebut. Kemudian diujinya lagi dengan menyuruh mereka menghidupkan orang mati. Selepas dua utusan itu bermohon pada ALLAH, maka hiduplah orang yang mati tadi.
Maka hairanlah orang yang menyaksikan kejadian itu. Dalam kesempatan itulah Syam’un berkata kepada raja: “Lihatlah tuanku! Betapa hebatnya Tuhan kedua-dua lelaki ini! Alangkah baiknya jika tuanku meminta juga kepada tuhan-tuhan yang tuanku sembah perkara seumpama itu. Mesti ia akan menjadi kemegahan kepada tuhan tuanku dan tuanku sendiri!”
Mendengar keterangan Syam’un, maka orang ramai mulai curiga kepadanya. Mereka menuduh Syam’un sebagai teman kepada dua orang lelaki yang sedang menjalani hukuman itu.
Maka ketiga-tiganya pun berterus-terang: “Sesungguhnya kami ini adalah orang yang diutus kepadamu.” Lalu ketiga-tiganya menerangkan bahawa mereka telah diutus oleh ALLAH untuk mengajak mereka agar menyembah dan bertauhid kepada-Nya. Maka terjadilah perbalahan dan perdebatan yang berpanjangan di kalangan mereka selama utusan-utusan itu menyampaikan dakwahnya. Walau dengan bukti-bukti yang nyata, kaum negeri itu tidak juga mengikuti seruan utusan-utusan itu. Mereka tidak mempercayai bahawa tiga orang itu benar-benar utusan ALLAH.
Kata mereka: “Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami. Tuhan yang Maha Pengasih tidak menurunkan apa-apa. Kamu ini tidak lain hanyalah pendusta belaka!”
Terhadap tuduhan orang ramai itu, para utusan berkata: “Tuhan kami lebih mengetahui bahawa kami ini benar-benar diutus kepada kamu. Dan kewajipan kami hanya menyampaikan (perintah ALLAH) dengan jelas.”
Ketegangan semakin memuncak apabila penduduk bandar itu menuduh ketiga-tiga utusan sebagai pembawa keributan, perpecahan, pergaduhan dan malapetaka kepada rakyat. Maka para pemimpin kaum telah memberikan kata dua kepada para utusan, sama ada mahu menghentikan kegiatan dakwah mereka ataupun menerima hukuman yang berat.
Mereka mengancam: “Sesungguhnya jika kamu tidak menghentikan semua ini, kami akan rejam kamu dan pastilah kamu akan mendapatkan seksaan yang pedih dari kami.”
Berkatalah para utusan: “Kemalangan kamu itu adalah kerana kamu sendiri. Apakah jika kamu diberi peringatan (kamu bernasib malang)? Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas.”
Keterangan itupun tidak membuat mereka bertenang. Sebenarnya mereka sedar bahawa kemalangan itu disebabkan mereka sendiri yang menentang para utusan. Hati mereka sudah dirasuk syaitan, mereka tidak mahu menerima kenyataan ini lalu bertambah marah. Para pemimpin saling menghasut bahawa kehadiran mereka membawa malang.
Pada saat-saat genting itulah datang seorang lelaki dari hujung kota dalam keadaan tergesa-gesa dengan niat untuk menyedarkan kaumnya. Berkata dia: “Wahai kaumku, ikutlah para utusan itu!”
Orang ramai terkejut dan kehairanan melihat lelaki itu. Siapakah dia?
Lelaki itu adalah Habib yang bekerja sebagai tukang batu (Habib An-Najar) oleh itu dia digelar Habibunnajar. Apabila didengarnya kaumnya hendak menyiksa utusan yang bertiga itu, maka dia pun segera meninggalkan pekerjaannya dan bergegas bertemu kaumnya yang sedang marah itu.
Kaumnya bukan sahaja tidak menerima ajakan Habibunnnajar, malah menjadi bertambah marah. Habib berkata, “Ikutilah orang yang tidak meminta upah kepadamu, dan mereka itu adalah orang yang mendapat petunjuk.”
Dengan ucapannya itu Habib menerangkan kepada kaumnya bahawa tiga lelaki itu benar-benar utusan ALLAH kerana:
1.     Mereka tidak meminta upah atau balasan atas ajaran yang mereka bawa,
2.    Para utusan itu adalah orang yang mendapat petunjuk. Ini kerana ajaran yang dibawanya senang sahaja yakni beriman kepada ALLAH supaya tidak menyembah selain Dia. Dengan demikian ajarannya tidak berdolak-dalik dan tidak menyusahkan.

Berbagai dalil dikemukakan oleh lelaki yang berlari dari hujung kota untuk meyakinkan kaumnya, namun tidak berhasil juga. Kaumnya tetap membantah.
Berserulah Habib kepada dirinya sendiri sebagai sindiran kepada kaumnya: “Mengapa aku tidak menyembah kepada (Tuhan) yang telah menciptakanku dan hanya kepadaNya kamu semua dikembalikan? Apakah aku akan menyembah kepada tuhan-tuhan selain ALLAH? Jika Tuhan yang Maha Pengasih hendak memudaratkan aku, maka tidaklah berguna untukku syafaat mereka sedikitpun jua dan mereka pula tidak akan dapat menyelamatkan diriku. Kalau demikian, jadilah aku dalam kesesatan yang nyata.” (Surah Yaasiin:22-24)
Kaum Habib bertambah marah lalu berteriak agar Habib dibunuh saja kerana dianggap sebagai pengacau. Maka berkerumunlah orang ramai di bandar itu lalu memukul, membaling dan menumbuk Habib. Akibatnya muka Habib lebam-lebam, tubuhnya penuh dengan darah dan lemah, maka dia pun terjatuh menggelepar di atas tanah. Setelah jatuh, mereka memijak tubuhnya hingga keluar isi perutnya.
Kini lelaki dari hujung kota tidak berdaya lagi dan orang ramai puas melihat dia tenat dan kemudian mati. Sementara para penganiaya bersorak kegembiraan kerana puas melakukan kekejaman, roh Habib terbang diiringkan oleh para malaikat dengan penuh penghormatan dan kemuliaan dan di situlah datang panggilan Tuhan menjemput Habib: “Sila masuk ke dalam Syurga!” (Yaasiin:26)
Sebaik sahaja Habib membuka matanya di alam barzakh itu, nampaklah olehnya keindahan syurga yang dijanjikan untuknya. Rasa penat dan letih selama berjuang membela agama kini hilang. Rasa sakit-sakit kerana dipukul sudah tidak dirasakannya kembali. Semuanya bertukar menjadi kenikmatan, keindahan dan keseronokan. Begitulah balasan untuk orang mati syahid. Melihatkan semua ini, Habib berasa terkilan kerana kaumnya tidak mahu menikmati semua kenikmatan ini.
Berkatalah Habib: “Ah, sayang! Alangkah baiknya jika kaumku mengetahui!” (Yaasiin:26)
Kini giliran kaumnya pula untuk menerima balasan dari Tuhan atas kelakuan mereka menentang para utusan dan menyiksa dan membunuh penganjur dakwah. Kepada mereka Tuhan tidak menurunkan tentera-tentera yang hebat, bom atom atau peluru berpandu dari langit, tetapi cukup dengan memperdengarkan satu pekikan kuat yang dilakukan oleh malaikat. Satu pekikan itu sahaja sudah mampu menggegarkan gunung dan menggoncangkan bumi tempat mereka berpijak, maka terperanjatlah mereka semua. Dan akhirnya mereka semua mati dalam keadaan yang sangat menyedihkan akibat dihempap gunung atau terbenam ke dalam tanah.

4 comments:

mr.syazwan said...

wah terasa mcm belajar pendidikan islam dan sejerah

best...

=_=

Unknown said...

kisah ni memang sama dlm alquran... tp dri mna dpt kisah yg trperinci mcmni?

RedVelvet said...

pembetulan...annajar bkn bermaksud tukang batu...tapi tukang kayu...syukran

Unknown said...

Tq