Showing posts with label JUNJUNGAN BESAR RASULULLAH S.A.W.. Show all posts
Showing posts with label JUNJUNGAN BESAR RASULULLAH S.A.W.. Show all posts

Feb 19, 2011

CARA JALAN, BERCAKAP, KETAWA DAN JENAKA RASULULLAH S.A.W.

Sejahtera ke atas kamu wahai semua pembaca.. (^_^)


Membaca kisah Rasulullah s.a.w. memang seronok. Kalau kita hayati betul-betul, insya-ALLAH, boleh jatuh chenta.. Bagus la kan? Memang ALLAH dan Rasul-Nya yang paling layak untuk dicintai dahulu sebelum yang lain-lain... Sesungguhnya segala perbuatan dan percakapan dari Nabi Muhammad s.a.w. adalah sebagai panduan kepada kita, supaya kita jadikan ia sebagai contoh. Bukan setakat suka-suka tahu je, kita kena la ikut sekali. At least cuba. Insya-ALLAH hidup kita lebih mudah dan tenang apabila mengikut sunnah baginda..

Kali ni nak cerita tentang perwatakan-perwatakan Nabi s.a.w. pulak..


1. Rasulullah s.a.w. yang Aktif Berjalan

  • Nabi s.a.w. kita berjalan sangat aktif dan laju sampai para sahabat kena gigih kejar baginda. :)
    Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa:

    "Aku tidak pernah melihat seorang pun yang terlebih kacak daripada Rasulullah s.a.w. Cahaya dan seri wajahnya seolah-olah matahari itu sendiri memancar di mukanya. Dan aku tidak pernah seorang yang terlalu lasak berjalan selain baginda s.a.w. seolah-olah bumi bergulung untuknya. Jika pada satu masa baginda di sini, sebentar lagi akan kelihatan baginda di sana. Walaupun ada ketika baginda berjalan secara biasa, namun kami yang mengikuti baginda terpaksa melangkah dengan susah-payah (terpaksa berjalan dengan lebih lasak untuk bersamanya)"

  • Nabi Muhammad s.a.w. tidak jalan berlenggang seperti wanita. Baginda s.a.w. berjalan seolah-olah menuruni tempat tinggi. Sangat lasak dan energetic.
    Daripada riwayat Ibrahim ibn Muhammad:

    "Ali r.a. menerangkan bahawa apabila Rasulullah s.a.w. berjalan, baginda akan menjatuhkan langkahnya dengan mantap dan bertenaga."



  • Apabila berjalan, Nabi s.a.w. akan membiarkan para sahabatnya mendahului baginda s.a.w.
    Seperti yang diriwayatkan oleh Hind bin Halah:
    "...Apabila baginda (s.a.w.) berjalan di kalangan sahabat-sahabat, baginda s.a.w. tidak akan mendahului mereka."

  • Kenapa Rasulullah s.a.w. berjalan di belakang dan bukan hadapan sahabat, sedangkan baginda adalah ketua mereka?
    1. Nabi s.a.w. tidak berjalan di hadapan sahabat-sahabatnya disebabkan sifat tawaduk yang dimiliki baginda. Berjalan di hadapan orang lain adalah amalan orang angkuh dan ujub sebagai tanda kemuliaan, taraf dan maruah mereka.
    2. Nabi s.a.w. juga lebih gemar berjalan di belakang untuk memudahkan baginda membantu sahabat yang memerlukan pertolongan seperti keciciran barang.3. 'Allamah Baijuri mengatakan malaikat-malaikat sentiasa berjalan di belakang Rasulullah s.a.w., oleh itu baginda akan membiarkan sahabat berjalan di hadapan.4. Nabi s.a.w. seorang pembimbing yang pengasih. Apabila berada di belakang, baginda dapat melihat kesalahan dan kekurangan yang dilakukan oleh sahabat lalu membetulkannya.

2. Keindahan Percakapan Rasulullah s.a.w

  • Rasulullah s.a.w. bercakap dengan jelas, lancar dan padat supaya pendengar dapat memahami dan mengingati sabdanya dengan baik.

    Riwayat dari Aisyah R.A.:

    "Rasulullah s.a.w. bercakap dengan jelas supaya dengan demikian sahabat-sahabat dapat menghafalnya dengan mudah."

    Apabila bercakap, Nabi Muhammad s.a.w. tidak akan bercakap cepat dan akan bertutur dengan lancar sehingga orang yang mendengar akan memahami bahagian-bahagian ayatnya. Baginda s.a.w. akan bercakap dengan jelas supaya orang yang hadir dalam majlisnya akan dapat memahami sebaik-baiknya.

    Riwayat dari Anas r.a.:

    "Rasulullah s.a.w. kadangkala mengulangi (mengikut keperluan) sabda-sabdanya sebanyak tiga kali supaya para sahabat dapat mengikutinya dengan pengertian."

    Riwayat ini bermaksud apabila Nabi s.a.w. ingin menerangkan sesuatu hal yang penting dan rumit, baginda akan mengulanginya sebanyak tiga kali. Pengulangan tiga kali itu merupakan batasannya. Jika tidak baginda hanya akan menyebut sekali.



  • Nabi s.a.w. seorang yang pendiam. Baginda tidak bercakap kecuali apabila perlu.

    Daripada satu riwayat yang panjang, Imam Hasan r.a. menerangkan tentang sifat Nabi s.a.w yang sentiasa tenggelam dalam keresahan memikirkan tentang ALLAH, sifat-sifat-Nya dan Hari Akhirat. Oleh itu baginda jarang bercakap kecuali benar-benar perlu. Percakapan yang ringkas dan membawa pelbagai makna merupakan mukjizat kenabian baginda.

  • Nabi s.a.w. bercakap dengan sopan dan tidak biadab untuk mengelakkan orang lain tersinggung.
    Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah biadab apabila bercakap, walaupun ketika memberi nasihat. Ketika memberi teguran dalam majlis baginda tidak akan menyebut nama sesiapa untuk mengelakkan orang itu dicela oleh orang lain. Nabi s.a.w lebih suka menegur secara umum.

    "Tentang dunia dan perkara-perkara duniawi, Rasulullah s.a.w. tidak akan tersinggung tetapi jika perkara itu melampaui batas-batas agama dan kebenaran, seorang pun tidak akan terlepas dari kemurkaannya..."

    Nabi Muhammad s.a.w. akan menghukum sesiapa yang bercakap atau melakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama, namun hukuman itu hanya dilaksanakan selepas bukti-bukti yang kukuh diperoleh.

    ".. Jika Rasulullah s.a.w. terkejut, baginda akan membalikkan tangannya. Ketika bercakap, baginda akan membuat gerakan isyarat dan kadangkala menepuk telapak tangan kanan dengan telapak tangan kirinya. Jika baginda murka maka baginda akan mengalihkan wajahnya daripada orang itu: sama ada tidak memberi perhatian kepadanya atau memaafkannya. Jika baginda gembira, baginda akan seolah-olah menutup matanya disebabkan kesopanannya. Ketawanya hanyalah senyuman, dan ketika ketawa akan terserlah giginya yang mulia seolah butiran hujan batu yang bercahaya."

3. Ketawa Rasulullah s.a.w yang Menawan



  • Ketawa Rasulullah adalah senyuman.
    Jabir r.a. meriwayatkan bahawa:

    "Betis Rasulullah s.a.w. kecil (tidak gemuk) dan ketawanya tidak lebih dari hanya senyuman. Apabila aku menemuinya, aku pernah memikirkan baginda menggunakan celak pada matanya, namun sebenarnya baginda tidak mencalitkan apa-apa celak pada matanya."

    Pada tepi kelopak mata Rasulullah s.a.w. ada warna celak yang semulajadi, maka dengan itu mata baginda s.a.w. seolah-olah dikenakan celak.

    Abdullah Ibn Harith r.a. meriwayatkan:

    "Aku tidak melihat seorang yang lebih banyak senyum daripada Rasulullah s.a.w."

    Riwayat ini bermaksud Nabi s.a.w. mempunyai kebiasaan tersenyum daripada ketawa.

    Jabir bin Abdullah r.a. meriwayatkan bahawa setelah keIslamannya, Rasulullah s.a.w. tidak pernah menghalang beliau daripada mengikuti majlis baginda s.a.w., dan bilamana Rasulullah s.a.w. melihat beliau, baginda pernah ketawa.

    Dalam hadis lain dinyatakan baginda tersenyum.

  • Kisah-kisah yang Menyebabkan Rasulullah s.a.w. Ketawa

    Daripada riwayat Abu Dzar r.a. terdapat kisah ini:

    Pada satu ketika Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya aku mengetahui orang yang pertama sekali akan masuk ke dalam syurga dan orang terakhir yang keluar darinya..." Baginda pun menceritakan sebuah kisah kepada para sahabat..

    " Pada hari kiamat, akan dihadapkan seseorang , maka malaikat yang bertugas akan memperlihatkan dosa-dosa kecil orang itu dan menyembunyikan dosa-dosanya yang besar.
    "Engkau telah melakukan itu dan ini pada masa itu dan ini.." kata Malaikat. Orang itu membenarkan apa yang dikatakan malaikat. Sebenarnya dia lebih bimbang akan dosa-dosa besarnya. ALLAH s.w.t. pun memerintahkan malaikat supaya memberikan kebaikan kepadanya untuk menggantikan segala kejahatan yang pernah dilakukannya. Apabila mengetahui perintah ALLAH itu, orang itu pun berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku masih mempunyai dosa yang tidak diperlihatkan lagi!"

    Selepas itu Rasulullah s.a.w. ketawa sehingga menampakkan gigi gerahamnya.

    Satu lagi kisah yang menyebabkan Rasulullah s.a.w. ketawa adalah seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas'ud ini:

    Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya aku mengetahui tentang penghuni neraka yang terakhir keluar. Ia adalah seorang lelaki yang keluar dari neraka dengan merangkak..."

    Dikatakan kepada lelaki itu: "Masuklah kamu ke dalam syurga."

    Orang itu pun masuk ke dalam syurga namun mendapati syurga itu telah penuh. Dia pun mengadu kepada ALLAH s.w.t.: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya syurga itu telah penuh!"

    Dikatakan kepada lelaki itu: "Adakah engkau masih ingat pada zaman engkau hidup di dalamnya?"

    "Ya," jawab orang itu.

    "Berangan-anganlah kamu."

    Maka orang itu pun berangan-angan tentang syurga.

    Lalu dikatakan kepada orang itu: "Untuk kamu syurga yang luasnya sepuluh kali ganda dunia sebagaimana yang engkau angankan."

    Kata lelaki itu: "Engkau memperolok-olokkanku dan Engkau adalah Penguasa."


    Selesai bercerita, Abdullah bin Mas'ud mengatakan beliau melihat Rasulullah s.a.w. tertawa (tersenyum) sehingga menampakkan gigi gerahamnya.


    Walaupun sering tenggelam di dalam pemikirannya (bertakafur), namun Nabi Muhammad s.a.w. sentiasa tersenyum untuk menghiburkan hati para sahabat yang dikasihinya. Segaris senyuman daripada Rasulullah s.a.w. sudah memadai buat para sahabat untuk mengetahui bahawa perbuatan mereka diterima. Jika baginda terus-menerus tenggelam dalam tafakurnya, maka sudah tentu para sahabat menganggap diri mereka tidak disenangi Nabi s.a.w. Betapa pengasihnya Nabi kita :)



4. Gurauan dan Jenaka Rasulullah s.a.w.


  • Dibuktikan bahawa Rasulullah juga berjenaka, namun baginda melarang melakukan kelakar yang menyebabkan orang ketawa terbahak-bahak.


  • Larangan Nabi s.a.w. ini sangat berasas kerana jenaka yang berlebihan akan menyebabkan hati menjadi keras dan tidak mengingati ALLAH s.w.t.  Jenaka yang melampau juga boleh membawa kepada penghinaan dan menyinggung perasaan orang lain.

  • Sifat berjenaka dan periang adalah relevan ada pada Nabi s.a.w. memandangkan baginda merupakan role model dan dikagumi ramai. Jika beliau tidak ramah dan periang, maka mestilah menjadi kesukaran buat orang ramai untuk berhubung dan mengambil manfaat daripadanya. Lebih-lebih lagi, golongan yang bertaqwa dan mulia akan menuruti setiap perlakuan Rasulullah s.a.w. Jika baginda seorang yang tidak senyum dan tidak periang, maka golongan ini juga akan menjauhkan diri mereka dari senyuman dan keriangan. Sikap ini akan memberi kesukaran kepada mereka yang hadir untuk memperoleh keberkatan. Maha Suci ALLAH. Semoga ALLAH sentiasa mencucuri rahmat dan berkatNya yang tidak terhingga ke atas Rasulullah s.a.w. yang telah mempusakai jalan-jalan kemudahan buat umatnya.. :)



  • Sufyan Ibn Asiyniyah mengatakan jenaka adalah satu sunnah tetapi hanya pada mereka yang tahu masanya dan tahu membuat jenaka yang baik.


  • Pemilik Dua Telinga
    Daripada Anas r.a. meriwayatkan pada suatu masa Rasulullah s.a.w. memanggilnya, "Wahai pemilik dua telinga."
    Setiap manusia mempunyai dua telinga. Rasulullah s.a.w. mesti mempunyai sebab tertentu untuk memanggil dengan gelaran sedemikian. Kemungkinan beliau mempunyai telinga yang besar atau mempunyai daya pendengaran yang tajam.

  • Rasulullah s.a.w. Menghiburkan Kanak-kanak
    Anas r.a. juga mengatakan Rasulullah s.a.w. memag kerap berjenaka apabila bertemu dengan para sahabat. Pada suatu hari, kebetulan beliau mempunyai seorang saudara yang lebih muda (adik). Baginda s.a.w. pun berjenaka dengannya: "Wahai Abu Umair! Ke mana perginya nughairmu?"
    Nughair adalah nama sejenis burung yang kecil yang pernah dibela oleh kanak-kanak tersebut.



  • Berjenaka Bukan Berdusta
    Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah berjenaka. Kata Abu Hurairah, "Wahai Rasulullah! Tuan juga berjenaka dengan kami!" Balas Rasulullah s.a.w, "Ya, tetapi aku tidak berkata dusta."

  • Rasulullah s.a.w. Bermain bersama Zahir Ibn Haram r.a.
    Seperti yang diriwayatkan oleh Anas r.a. Ada seorang penghuni hutan bernama Zahir Ibn Haram r.a. Beliau sering membawa hasil hutan seperti sayur-sayuran sebagai hadiah kepada Rasulullah s.a.w. Apabila beliau ingin pulang ke rumahnya dari Madinah, Rasulullah s.a.w. akan memberinya hadiah yang berupa barang-barang bandar yang boleh dimakan.


    Sabda Rasulullah s.a.w.: "Zahir adalah hutanku dan aku adalah bandarnya."


    Wajah Zahir dikatakan tidak menarik namun Rasulullah s.a.w. memberi perhatian yang istimewa kepadanya. Pernah suatu ketika Zahir r.a. sedang berdiri menjual barang-barangnya. Rasulullah s.a.w. secara senyap-senyap berdiri di belakang Zahir lalu menangkapnya.


    "Siapa ini? Lepaskan aku," kata Zahir. Tetapi Zahir dapat melihat dari ekor matanya bahawa yang mengusiknya adalah Rasulullah s.a.w. Maka secara berhati-hati beliau menekan belakangnya ke dada Rasulullah s.a.w.


    "Siapa yang mahu membeli hamba ini?" Tanya Rasulullah s.a.w. secara berjenaka.


    "Wahai Rasulullah!" jawab Zahir r.a. "Jikalau tuan mahu menjual saya, tuan hanya akan dapat tawaran harga yang murah disebabkan kecacatan yang saya miliki."


    "Tidak," sahut Rasulullah s.a.w. "Di sisi ALLAH s.w.t., kamu tidak ada kecacatan, malahan kamu sangat berharga."



  • Unta Betina
    Anas r.a. menceritakan:


    Pada suatu hari seorang lelaki meminta dari Rasulullah s.aw. supaya ia dibawa menaiki kenderaan. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Baiklah, aku akan membawa kamu menaiki unta betina."


    "Ya Rasulullah, apakah yang dapat aku lakukan dengan unta betina itu?" kata lelaki itu.


    Jawab Rasulullah s.a.w.: "Bukankah unta itu dilahirkan oleh unta betina juga?"


  • Orang Tua tidak Masuk Syurga
    Hasan Basri r.a. menceritakan seorang perempuan tua datang menemui Rasulullah s.a.w.


    "Ya Rasulullah! Doakanlah agar ALLAH s.w.t. masukkan aku ke dalam syurga," pinta wanita tua tersebut.


    "Orang tua tidak boleh masuk syurga," jawab Rasulullah s.a.w.


    Maka pulanglah wanita tua itu sambil menangis. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: "Beritahulah pada wanita tersebut bahawa dia tidak akan masuk syurga sebagai wanita tua kerana ALLAH s.w.t. akan menjadikan kesemua wanita syurga menjadi anak dara."


    Maksud Rasulullah s.a.w., lelaki dan wanita tua tidak akan masuk syurga dengan keadaan diri mereka yang telah lanjut usia dan nyanyuk, sebaliknya akan dimasukkan sebagai jejaka dan wanita muda. ^_^




Firman ALLAH s.w.t:
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan itu) lebih baik daripada mereka (yang memperolok-olok) dan janganlah wanita-wanita memperolok-olokkan wanita lain (kerana) boleh jadi wanita yang (diperolok-olokkan itu) lebih baik daripada (wanita yang memperolok-olokkan itu) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri."


Sumber:
Insan Teladan Sepanjang Zaman - Mufti Ahmad E. Bemat, Sheikhul Hadis Maulana Muhd. Zakariya Al-Kandahlawi (Darul Nu'man, 1994)


Gambar:
nature.desktopnexus.com
news.discovery.com
alianamirza.wordpress.com
http://www.shutterstock.com/
allgreenislamic.blogspot.com
Peter Sanders - Muslim Famous & Professional Photographer
www.turntoislam.com
http://www.zawaj.com/

Feb 15, 2011

MUHAMMAD S.A.W. DI MATA DUNIA



Daripada What They Say About Muhammad (pbuh), http://islamislife.org/?p=197


Sejahtera ke atasmu wahai pembaca. (",)
Terdapat ramai ahli sejarah dan pemikir terkenal yang telah menyatakan pandangan mereka tentang Nabi Muhammad s.a.w. dengan cara positif dan berunsur pujian. Mereka telah berusaha menghapuskan tanggapan-tanggapan negatif yang sering dilemparkan kepada Rasulullah s.aw., dan dengan tepat menggambarkan baginda sebagai seorang yang memulihkan nilai-nilai moral, mempunyai jiwa yang hebat dan berani berkempen menentang kepercayaan primitif. Di sini disenaraikan beberapa petikan ayat-ayat daripada para sejarawan dan ilmuwan tentang Rasulullah s.a.w.:

(nota: Pada beberapa petikan di bawah, akan didapati istilah 'Muhammadanism' telah digunakan oleh beberapa penulis. Istilah ini biasa digunakan oleh penulis-penulis Barat dari zaman silam, namun sebenarnya penggunaan perkataan ini adalah diharamkan dalam Islam. Ini disebabkan istilah 'Muhammadanism' membawa erti yang bertentangan dengan agama Islam iaitu 'penyembahan terhadap Muhammad'. Misi Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk menyebarkan ajaran menyembah ALLAH Yang Maha Esa, satu-satunya Tuhan yang menciptakan langit dan bumi.)

Michael Hart dalam The 100, A Ranking of the Most Influential Persons In History, New York, 1978.
Keputusan saya untuk memilih Muhammad (s.a.w.) sebagai individu paling berpengaruh dalam sejarah berkemungkinan akan memeranjatkan pembaca dan menimbulkan pertikaian, namun beliau merupakan satu-satunya tokoh sejarah yang berjaya mencapai kejayaan yang menakjubkan dalam kedua-dua bidang agama dan sekular.
...Ada kemungkinan pengaruh Muhammad (s.a.w.) melangkaui gabungan pengaruh Jesus Christ dan St. Paul dalam Kristian.
...Kombinasi pengaruh dalam bidang agama dan sekular telah membuatkan saya memilih Muhammad (s.a.w.) sebagai tokoh paling berpengaruh dalam sejarah manusia.

Thomas Carlyle dalam Heroes and Hero Worship and the Heroic in History, 1840
Fitnah yang dilemparkan oleh Barat terhadap Muhammad (s.a.w.) adalah satu perbuatan yang tercela. Muhammad (s.a.w.) seorang yang hebat dalam diamnya, beliau seorang yang bersungguh-sungguh. Beliau telah menghidupkan dunia ini.

A. S. Tritton dalam Islam, 1951
Gambaran tentang pejuang-pejuang Islam mara dengan pedang di sebelah tangan dan al-Quran di tangan yang lain adalah palsu.

De Lacy O’Leary dalam Islam at the Crossroads, London, 1923.
Sejarah membuktikan bahawa 'lagenda' tentang fanatik Islam yang menguasai umat manusia dengan menggunakan pedang adalah satu MITOS yang hebat!

Gibbon dalam The Decline and Fall of the Roman Empire, 1823
Naluri yang baik yang terdapat dalam diri Muhammad menyebabkan beliau tidak berkeinginan terhadap kemewahan dan kemegahan. Pesuruh Tuhan ini membantu keluarganya melakukan kerja: beliau menghidupkan api, menyapu lantai, memerah susu kambing biri-biri, dan membaiki sendiri pakaian dan kasutnya.

Edward Gibbon and Simon Oakley dalam History of the Saracen Empire, London, 1870
Muhammad (s.a.w.) berjaya mencapai kejayaan yang besar dalam hidup beliau disebabkan kekuatan moralnya. Kita berasa kagum bukan pada penyebaran agamanya, tetapi pada pengekalan dan pemeliharaan nilai-nilai dalam agamanya. Tanggapan tentang Islam yang suci dan sempurna yang dibentuk oleh Muhammad (s.a.w.) di Mekah dan Madina, telah dipelihara dengan baik dan diamalkan oleh umat Islam seluruh dunia selepasnya, seperti India, Afrika dan Turki.. Pengikut Muhammad (s.a.w.) telah berjaya mempertahankan prinsip dan kepercayaan mereka dan tidak mengubahnya mengikut kehendak dan imaginasi manusia. 'Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH, dan Nabi Muhammad (s.a.w.) itu pesuruh ALLAH' merupakan pengakuan iman umat Islam yang ringkas dan muktamad. Umat Islam tidak pernah merendah-rendahkan Tuhan mereka dengan membuat ukiran patung-patung..




Reverend Bosworth Smith dalam Muhammad and Muhammadanism, London, 1874.
Memegang tanggungjawab sebagai ketua negara dan agama, Muhammad (s.a.w.) merupakan 'Caesar' dan 'Pope' dalam satu masa; tetapi beliau adalah Pope tanpa tuntutan dari Pope, dan Caesar tanpa pasukan tentera Caesar, tanpa bala tentera, tanpa pengawal, tanpa kekuatan polis, tanpa pendapatan tetap. Jika terdapat manusia yang memerintah dengan cara ketuhanan, Muhammad (s.a.w.)lah orangnya, kerana beliau mempunyai kekuatan tanpa sokongan-sokongan pihak yang disebutkan tadi...

Segalanya berbeza dalam era Muhammad (s.a.w.). Kita mendapati sejarah, bukan kesamaran dan misteri. Kita sedia maklum dengan sejarah luaran tentang Muhammad (s.a.w.), sedang sejarah dalamannya pula (selepas Muhammad s.a.w. diutuskan), terdapat satu buku yang sangat unik dari segi asal usulnya dan pemeliharaanya.. di dalam jagaan Kerajaan yang Kukuh di mana tiada siapa mampu mencetuskan sebarang keraguan dan pertikaian yang kukuh tentangnya.

Edward Montet dalam La Propagande Chretienne et ses Adversaries Musulmans, Paris 1890. (Juga dalam The Preaching of Islam oleh T.W. Arnold, London 1913.)
Secara dasarnya, Islam adalah agama yang rasional dari pelbagai segi termasuk asal-usul dan sejarahnya. Al-Quran telah menjadi titik tolak permulaannya di mana kepercayaan terhadap Tuhan yang Maha Esa ditekankan di dalamnya. Keyakinan dan kemurnian yang kuat yang diterapkan dalam Islam adalah sesuatu yang sukar dijumpai di luar agama ini. Kepercayaan yang tepat dan tidak rumit ini menyebabkan ia mudah diterima oleh manusia. Islam mempunyai kuasa yang hebat dalam memenangi hati nurani manusia.

Alphonse de LaMartaine dalam  Historie de la Turquie, Paris, 1854.

Alphonse de LaMartaine
Belum pernah ada manusia yang menetapkan dirinya- sama ada secara sukarela atau tidak- dalam satu matlamat yang agung: iaitu menghapuskan kepercayaan karut antara manusia dan Penciptanya, menyampaikan Tuhan kepada manusia dan manusia kepada Tuhan, dan mengembalikan kerasionalan dan konsep ketuhanan yang sebenar di tengah-tengah kekecohan manusia yang menggambarkan Tuhan dengan bentuk yang jelik melalui pembinaan patung-patung berhala.

Belum pernah ada manusia yang sanggup mengambil tanggungjawab yang melampaui keupayaan manusia biasa tanpa kemampuan dan pertolongan yang kuat. Muhammad (s.a.w.) tidak mempunyai daya upaya melainkan dirinya sendiri dan sedikit pertolongan dan sokongan dari segelintir masyarakat yang hidup di pinggir gurun.

Akhir sekali, belum pernah ada manusia yang mencapai kejayaan yang sangat besar dan berkekalan sehingga hari ini di dunia ini, selain Muhammad (s.a.w.). Ini disebabkan dalam masa kurang dari dua abad (200 tahun) selepas kemunculannya, Islam telah tersebar ke seluruh bumi Arab, dan menakluki kerajaan Parsi (kerajaan dunia terbesar), Transoxania, India Barat, Syria, Mesir, Abisinia, keseluruhan benua Afrika Utara yang diketahui, kebanyakan pulau-pulau di Laut Mediterranean, Sepanyol dan sebahagian dari Gaul.

Jika matlamat yang unggul, keupayaan yang kecil dan pencapaian yang menakjubkan merupakan tiga ciri-ciri manusia genius, maka siapakah yang berani membandingkan mana-mana tokoh dalam dunia ini dengan Muhammad (s.a.w.)? Kebanyakan tokoh terkenal dunia hanya membentuk kekuatan tentera, undang-undang dan empayar. Mereka hanya memiliki kekuasaan material yang kebiasannya akan musnah di hadapan mata mereka. Sedangkan Muhammad (s.a.w.) bukan sahaja berjaya menggerakkan bala tentera, undang-undang, empayar-empayar, rakyat, dan dinasti, malah juga berjuta-juta manusia yang mendiami satu pertiga Bumi pada masa itu. Lebih dari itu, Muhammad (s.a.w.) berjaya mengubah altar-altar, tuhan-tuhan, agama-agama, ideologi-ideologi, kepercayaan dan jiwa-jiwa manusia. 


Dengan berdasarkan sebuah Buku, yang setiap huruf di dalamnya menjadi undang-undang dan pegangan Islam, Muhammad (s.a.w.) telah berjaya membentuk semangat kebangsaan yang menyatukan manusia dari pelbagai bangsa. Beliau telah memupuk semangat di kalangan bangsa yang tidak terhapus ini tentang kebencian terhadap tuhan palsu dan kecintaan terhadap Tuhan yang Maha Esa. Semangat patriotik dalam menentang penghinaan terhadap Syurga telah membentuk moral yang terpuji di kalangan pengikut Muhammad (s.a.w.); Penaklukan Islam terhadap satu pertiga dunia merupakan satu keajaiban Muhammad (s.a.w.).

Usaha Muhammad (s.a.w.) dalam menyeru manusia kepada Tuhan yang Satu, di tengah-tengah kepupusan ajaran nenek moyang (nabi-nabi sebelumnya), merupakan satu keajaiban di mana kata-kata yang keluar dari bibirnya telah berjaya memusnahkan kuil-kuil kuno dan berhala-berhala, serta menguasai satu pertiga dunia. Kehidupannya, meditasinya, keberaniannya dalam menentang kepercayaan karut di tempat tinggalnya, dan kelantangannya dalam mengkritik pemujaan berhala, ketegasannya dalam mengekalkan prinsip dan pegangan beliau selama 15 tahun di Mekah, ketabahannya dalam menerima tentangan, hinaan dan kekejaman kaumnya.. Agama yang dianut dan diajar oleh Muhammad (s.a.w.) ini  telah menggabungkan dua aspek: Tuhan itu Maha Esa dan Tuhan itu tidak boleh digambarkan secara jasmani. Manusia yang terdahulu menyatakan apa itu Tuhan, sedang yang terakhir ini menyatakan apa yang tidak tentang Tuhan. Yang terdahulu menggulingkan tuhan palsu dengan menggunakan pedang, sedang yang terakhir ini menggunakan perkataan untuk menyampaikan ideanya.

Ahli falsafah, pemidato, rasul, pembuat undang-undang, penakluk pemikiran, pemulih kepercayaan... Pengasas kepada dua puluh empayar dunia dan satu empayar agama. Dialah Muhammad (s.a.w.). Setelah dikaji menggunakan semua kriteria-kriteria yang dikehendaki untuk mengukur keunggulan seseorang, kita boleh bertanya, adakah manusia lain sehebat Muhammad (s.a.w.)?


Mahatma Gandhi, dalam pernyataannya yang dicetak pada Young India,1924

Mahatma Gandhi
 Saya ingin mengetahui tentang kehidupan seseorang yang sehingga hari ini telah memegang satu kekuasaan yang tidak dapat dipertikaikan.. yang telah menguasai hati berjuta-juta manusia.. Dan hasilnya saya semakin yakin bahawa Islam berjaya bukanlah melalui senjata (kekerasan). Muhammad (s.a.w.) mencapai kejayaan disebabkan kesederhanaannya, ketelitiannya dalam menghormati perjanjian-perjanjian, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada sahabat dan pengikutnya, keberaniannya dan kepercayaannya yang kukuh terhadap Tuhan dan misinya... Semua ini- dan bukan senjata- yang telah membawa kepada kejayaan Muhammad (s.a.w.) dan umat Islam, dan membantu mereka mengatasi segala halangan dan cabaran. Sewaktu saya habis membaca siri kedua biografi Muhammad (s.a.w.), saya berasa hampa kerana tidak ada lagi yang boleh saya baca tentang insan yang hebat ini.


Sir George Bernard Shaw dalam The Genuine Islam, Vol. 1, No. 8, 1936.
Jika ada agama yang mempunyai potensi untuk menguasai England, Islam mempunyai potensi itu. Sejak sekian lama saya memandang tinggi pada agama yang dianuti dan diajar oleh Muhammad ini disebabkan daya hidupnya yang mengagumkan. Saya telah mengkaji tentangnya, lelaki yang hebat ini, dan saya berpendapat Muhammad (s.a.w.) sewajarnya digelar Penyelamat Umat Manusia, dan bukannya 'anti-Christ.'

Saya percaya jika lelaki sepertinya dikehendaki menghadapi kediktatoran di dunia moden ini, Muhammad (s.a.w.) akan berjaya menyelesaikan masalah itu dengan cara yang membawa kepada keamanan dan kebahagiaan. Kepercayaan Muhammad (s.a.w.) boleh diterima dalam dunia Eropah pada masa akan datang memandangkan ia sudah mula diterima oleh dunia Eropah pada masa kini,

Dr. William Draper dalam History of Intellectual Development of Europe
Empat tahun selepas kematian Justinian, 569 S.M., lahirlah di Mekah, Arab, seorang lelaki yang bakal melaksanakan pengaruh yang paling hebat ke atas bangsa manusia. Memegang tanggungjawab sebagai ketua agama empayar-empayar, dan menjadi panduan kepada satu pertiga umat manusia, Muhammad (s.a.w.) memang layak memegang gelaran "Pesuruh Tuhan."

Arthur Glyn Leonard in ‘Islam, Her Moral and Spiritual Values’
Kegeniusan Muhammad (s.a.w.) dan semangat yang diberikannya ke atas orang-orang Arab melalui Islam telah meninggikan darjat mereka. Mereka telah meningkat dari kelesuan dan kebekuan kepada kesatuan bangsa dan empayar yang tinggi. Sifat-sifat terpuji Muhammad (s.a.w.), keagungan, ketenangan, dan kesetiaan beliau terhadap prinsip-prinsipnya telah menjadi sumber inspirasi kepada mereka.





Feb 10, 2011

MENGENAI RUPA BENTUK RASULULLAH S.A.W.



"Adalah di luar kemampuan manusia untuk melukiskan gambaran mengenai rupa bentuk Rasulullah s.a.w., jauh daripada kesanggupan sesiapa pun untuk menceritakan insan yang penuh cahaya ini. Walau bagaimanapun, para sahabat (r.a.) disebabkan jiwa mereka yang bercahaya dan mempunyai kesanggupan, maka telah cuba menggambarkan rupa bentuk baginda untuk memberikan sedikit bayangan baginda (s.a.w.) kepada kita untuk memuaskan hati kita dengannya."
- Syeikh Hafiz Abu Isa Muhammad Ibn Isa Tarmizi


"Keseluruhan kekacakan Rasulullah s.a.w. tidak dizahirkan, jika tidak, maka manusia tidak dapat menoleh sedikit pandangan pun ke arahnya"
-'Allamah Qurtubi (rahmatullah 'alaihi)


"Saya tidak pernah melihat sesiapa yang lebih tampan daripada Rasulullah s.a.w."
-Al Barra' bin 'Azib (r.a)

"Saya tidak pernah berjumpa sesiapa pun yang lebih segak dan kacak sama ada sebelum atau sesudahnya."
-Ali bin Abu Thalib


"Wajah Rasulullah s.a.w. menyinar laksana bulan purnama penuh" - Hind (r.a.)

"Saya sedang melihat wajah Rasulullah s.a.w., kemudian saya melihat pada bulan purnama. Menurut pandangan saya, wajah Rasulullah s.a.w. lebih cantik dari bulan." - Jabir (r.a.)


Seorang penyair Parsi menyatakan dengan benar bahawa segala kekacakan yang dipunyai sekalian Nabi dan Rasul telah didapati sempurna sifatnya pada diri Rasulullah s.a.w.

Kecantikan Nabi Yusuf a.s. terserlah sepenuhnya berbanding kecantikan Rasulullah s.a.w. di mana ia tidak diserlahkan oleh ALLAH sepenuhnya.

"Rasulullah s.a.w. itu tersangat putih seolah-olah baginda dijadikan daripada perak"
-Abu Hurairah (r.a.)

 


"Rasulullah s.a.w. tidaklah terlalu tinggi dan tidak juga terlalu rendah. Warna wajahnya tidak terlalu putih seumpama air kapur dan tidak juga terlalu pudar. Rambut baginda s.a.w. tidak terlalu lurus dan tidak pula terlalu kerinting. ALLAH s.w.t. mengurniakan kenabian kepadanya ketika baginda berusia 40 tahun. Beliau telah tinggal di Makkah selama 10 tahun dan di Madinah selama 10 tahun dan ALLAH telah mewafatkannya ketika umur baginda mencapai lebih 60 tahun, namun uban yang ada pada rambut dan janggut baginda tidak melebihi 20 helai." -Anas (r.a.)

Rasulullah s.a.w. tidak putih seperti air kapur. Wajahnya juga tidak diputihkan. Wajah baginda adalah putih kemerah-merahan. Wajah Rasulullah s.a.w. mempunyai unsur-unsur kemerah-merahan dan terdapat cahaya di dalamnya.

Dengan ini imam-imam telah menyatakan bahawa jika seseorang mengatakan warna wajah Rasulullah s.a.w. adalah hitam, maka dia dijatuhi fatwa kufur kerana menyakiti dan memperkecil-kecilkan Rasulullah s.a.w. Begitu juga jika dia menyalahi Hadis Mutanawir (yang terus-menerus periwayatnya) yang telah membuktikan akan keputihan wajah Rasulullah s.a.w., maka orang itu digelar kufur.

Dalam satu hadis mengatakan jika Rasulullah s.a.w. berada di tengah-tengah sekumpulan manusia, baginda akan kelihatan seolah-olah lebih tinggi daripada yang lain.  Ini merupakan mukjizat yang dikurniakan oleh ALLAH s.w.t. kepada Rasulullah s.a.w iaitu, bukan sahaja baginda mempunyai pengetahuan yang luas berbanding yang lain, tetapi baginda juga tinggi dari segi tubuh badannya.

Saiyidina Ali (r.a.) menggambarkan Rasulullah s.a.w. sebagai seorang yang tidak tinggi dan tidak rendah. Tapak tangannya yang mulia dan kedua-dua kakinya berisi (tidak kurus, dipenuhi isi). Kepalanya yang mulia besar, sendi-sendi tulangnya juga besar. Daripada dada sehingga ke pusat terdapat barisan bulu-bulu yang nipis.  Ketika baginda berjalan seolah-olah nampak baginda sedang menuruni dari suatu tempat yang tinggi.

Setiap orang Islam wajib menghayati dan mempercayai bahawa TIDAK ADA MANA-MANA MANUSIA YANG DAPAT MENYAMAI RASULULLAH (S.A.W.). BAGINDA TIDAK DAPAT DIBANDINGKAN DENGAN MANA-MANA MAKHLUK. Juga tidak ada sesiapa yang mempunyai wajah sebagaimana yang dipunyai oleh Rasulullah s.a.w., dan juga tidak akan ada wajah seperti itu yang akan diberikan kepada sesiapa pun.


"Sekiranya rakan-rakan wanita Zulaikha memotong jari mereka tatkala melihat Nabi Yusuf a.s., maka jika mereka melihat wajah Rasulullah s.a.w., mereka pasti akan memotong hati-hati mereka." - Saiyiditina Aisyah r.a.

Terdapat seseorang yang bertanya kepada Al Barra bin 'Azib (r.a.): "Adakah wajah Rasulullah s.a.w. seumpama pedang yang mempunyai sisi yang tajam?" Jawab Al Barra: "Tidak, wajah baginda laksana bulan."

Abu Thufail (r.a.) diriwayatkan sebagai berkata: "Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. di mana tiada seorang pun yang masih hidup sekarang yang telah melihatnya selain dariku." Kata Sa'ed b. Al Jurari meminta: "Sifatkanlah kepadaku akan diri Rasulullah s.a.w. itu". Jawab Abu Thufail, "Warna kulitnya putih, perawakannya tampan dan sederhana."

Jabir bin Samurah (r.a.) meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. mempunyai mulut yang lebar (keluasannya sesuai dengan wajahnya), matanya lebar dan tumitnya nipis.
Tanya Syu'bah: "Aku bertanya Simak mengenai maksud mulut yang lebar itu."
Jawab beliau: "Bentuk mulutnya sesuai dan seimbang dengan raut wajahnya."
"Apakah yang dimaksudkan dengan mata yang lebar?"
"Bentuk matanya panjang."
"Apakah yang dimaksudkan dengan tumit yang nipis?"
"Daging tumitnya sedikit (tidak penuh)."

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Telah diperlihatkan kepadaku akan sekalian Nabi-nabi. Adapun Nabi Musa a.s. adalah bagaikan seorang lelaki yang berasal dari suku Syanu'ah. Nabi Isa a.s. pula mirip 'Urwah bin Mas'ud. Aku melihat Nabi Ibrahim  a.s. , ternyata lelaki yang mirip dengannya adalah sahabat kamu sendiri (maksudnya Rasulullah s.a.w. sendiri). Aku melihat Jibril, dan orang yang mirip dengannya adalah Dihyah."
(HR Jabir bin Abdullah r.a.)


Satu lagi riwayat Anas r.a. adalah "Rasulullah s.a.w. bertubuh sederhana, tidak tinggi dan tidak rendah. Bentuk tubuhnya cantik. Rambutnya tidak terlalu kerinting dan tidak pula terlalu lurus dan warnanya kehitam-hitaman. Apabila berjalan, langkah kakinya pantas."

"Rasulullah s.a.w. adalah seorang lelaki yang berperwatakan sederhana, mempunyai dada yang bidang (jarak antara kedua bahunya lebar). Rambutnya lebat menjuntai sehingga mencecah kedua cuping telinganya. Baginda sering memakai pakaian yang merah di mana tiada seorang pun yang aku lihat lebih kacak darinya." - Al Barra bin 'Azib

Perihal rupa Rasulullah s.a.w dari riwayat Saiyidina Ali (r.a.)
"Rasulullah s.a.w. tidak tersangat tinggi dan tidak juga terlalu rendah. Baginda mempunyai tubuh badan yang sederhana. Rambutnya tidak terlalu lurus dan tidak terlalu berketak-ketak sebaliknya keadaan rambutnya berombak-ombak (ikal). Badannya tidak gemuk. Wajahnya tidak bulat tetapi bujur. Warna wajah Rasulullah s.a.w. biasa dengan sedikit kemerah-merahan. Matanya tersangat hitam dan bulu keningnya panjang. Tulang sendi di badannya tebal (besar) (pergelangan tangan, siku, lutut). Bahagian di antara kedua-dua bahu dipenuhi daging-daging (berisi). Badan baginda s.a.w. tidak berbulu, tidak ada bulu seluruh tubuh badannya, tetapi ada sedikit barisan bulu daripada dada terus ke pusat. Tangannya yang mulia penuh isi-isi daging. Apabila Rasulullah s.a.w. berjalan, baginda akan melangkah ke hadapan dengan kukuhnya, seolah-olah baginda berjalan menuruni tempat curam, menurun dari tempat tinggi ke tempat rendah. Apabila baginda menumpukan perhatian kepada seseorang, baginda melakukannya dengan seluruh jasadnya (iaitu bukanlah seperti seorang yang berbangga diri yang memandang sambil lewa sahaja atau menyorot dengan mata sahaja, tetapi baginda akan memusingkan seluruh tubuhnya yang mulia dan menoleh mukanya yang bercahaya untuk memberikan perhatian). Di antara dua bahunya terdapat tanda kenabian. Pangkat kenabian berakhir padanya. Baginda terlebih dermawan daripada segala makhluk dan paling dipercayai percakapannya dan terlebih lembut hatinya daripada semua manusia. Baginda adalah dari golingan keluarga yang paling mulia."


Perihal rupa Rasulullah s.a.w. dari riwayat Hind bin Halah
"Rasulullah s.a.w. mempunyai sifat yang sangat mulia pada dirinya dan juga sangat mulia pada pandangan orang lain. Wajahnya bercahaya seperti bulan mengambang. Baginda lebih tinggi daripada orang sederhana namun lebih rendah daripada orang yang sangat tinggi. Kepalanya yang mulia sederhana besarnya. Walaupun besar tetapi sepadanlah dengan kekacakannya. Tidaklah begitu besar sehingga mencacatkan kekacakan wajah dan perawakannya. Rambutnya yang mulia sedikit bergelombang (tidak lurus sangat). Baginda tidak mengambil berat untuk membelah rambutnya, jika rambutnya senang untuk dibelah, maka baiklah keadaannya. Jika tidak, baginda tidak akan memberikan tumpuan untuk melakukannya. Dalam hal ini, baginda melakukannya mengikut masa dan keadaan. Jika setelah diminyaki rambutnya, baginda akan membelah rambutnya bila mana sikat diperoleh kemudiannya. Bila rambut Rasulullah s.a.w. panjang, rambut baginda melepasi sedikit daripada cuping telinganya.

Wajah baginda berseri-seri dan dahinya lurus. Keningnya nipis dan melengkung dan tidak bertemu. Di antara keningnya terdapat satu urat yang akan timbul apabila baginda murka. Hidungnya yang mulia mancung dan bercahaya. Pada sekalian pandang seorang pemerhati akan mendapati hidungnya besar tetapi apabila diperhati secara halus maka dia akan mendapati bahawa hidungnya mancung adalah disebabkan cahaya dan bukanlah sebenarnya besar.

Janggutnya yang mulia berkeadaan lebat. Anak matanya tersangat hitam. Pipinya rata (tidak cengkung), berisi tidak kendur atau menggelembir.

Mulut baginda sederhana luasnya (tidak sempit yang menjadikan rupa seseorang hodoh). Giginya kecil dan bercahaya dan tidak besar. Di antara gigi-gigi depannya terdapat sedikit jarak dan tidaklah rapat sangat di antara satu sama lain. Satu garisan rambut halus membarisi daripada dada ke pusat.


Lehernya kurus dan cantik untuk dilihat seumpama besi yang tercanai dan warna kulitnya cerah dan menarik seperti perak. Kesemua kakinya dan tangannya berulas. Badannya tegap. Perut dan dadanya rata (yakni tidak buncit yang boleh menyebabkan kesukaran sewaktu berjalan. Dadanya bidang malahan agak lebar di antara kedua-dua bahunya. Tulang-tulang sendinya besar dan kuat (menunjukkan kekuatannya). Apabila baginda membuka baju, badannya nampak berkilat dan berkilau (bahagian badan yang terdedah nampak berkilat dan bersinar sebagaimana bahagian yang tertutup). Terdapat satu jaluran bulu antara dada ke pusat. Selama ini dada dan perutnya tidak mempunyai bulu tetapi bulu bulu terdapat pada kedua-dua lengannya, bahu dan bahagian atas dada. Pergelangan tangannya panjang dan tapak tangannya lebar. Kedua-dua kakinya berisi dan montok. Jari-jari tangan dan kakinya panjang setangkap (sama ukuran). Tapak kakinya dalam dan kakinya rata. Kakinya yang berkeadaa licin, menjadikan air berlalu tanpa melekat dan mengalir terus. Apabila baginda berjalan, baginda akan menapak ke hadapan dengan tegap. Baginda berjalan agak membongkok ke hadapan sambil meletakkan kakinya ke tanah dengan lembut tanpa menghentak. Baginda berjalan dengan langkah yang cergas dan bukan langkah pendek-pendek. Apabila berjalan baginda nampak seolah-olah baginda menuruni bukit.

Apabila Rasulullah s.a.w. memberikan sesuatu perhatian, baginda akan memalingkan seluruh tubuhnya. Matanya yang mulia sentiasa ke bawah, kebanyakannya memandang ke arah bumi daripada memandang ke langit. Memandang hanya dengan ekor mata sahaja. Apabila baginda s.a.w. berjalan di kalangan sahabat-sahabat, baginda s.a.w. tidak akan mendahului mereka. Baginda akan mendahului memberi salam jika bertemu dengan orang ramai."

Sesungguhnya Rasul kita Muhammad s.a.w. dikurniakan ALLAH s.w.t. dengan wajah yang sangat mulia, yang tiada tolok banding, dan tidak mampu sama sekali digambarkan dengan sempurna oleh sesiapa pun. Dengan itu adalah sangat tidak wajar apabila ada pihak-pihak anti-Islam yang melukis wajah Muhammad dengan gambaran-gambaran yang biadab. Sama-samalah kita mendoakan agar ALLAH memberikan sebaik-baik pembalasan kepada mereka. Dan semoga kita dapat menatap wajah mulia Rasulullah s.a.w. di akhirat kelak. Amin.

Rujukan: Insan Teladan Sepanjang Zaman karya Mufti Ahmad E. Bemat, Sheikhful Hadis Maulana Muhd. Zakariya Al-Kandahlawi. Terbitan Darul Nu'Man (1994)

SEJARAH RINGKAS RASULULLAH S.A.W.

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagimu ...
(Al Ahzab:21)

Muhammad itu adalah utusan ALLAH dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap kafir tetapi berkasih sayang sesama mereka ...
(Al-Fath:29)


Nabi Muhammad s.a.w. telah dilahirkan pada 12 Rabiul Awal, bersamaan dengan 20 April 571 Masihi. Ayahanda baginda Abdullah bin Abdul Muttalib telah wafat sewaktu Nabi masih berada dalam rahim ibunya. Kemudian tibalah masa si ibu, Aminah binti Wahab melahirkan anaknya. Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan sempurna tanpa cacat cela.

Ibu Nabi telah menyusukan baginda selama tiga hari. Kemudian baginda telah disusukan oleh Tsuwaibah dan akhirnya diletakkan di bawah jagaan Halimatun Saadiah. Halimatun Saadiah telah membawa Nabi ke rumahnya di luar kota Makkah. Nabi telah tinggal bersama ibu susuannya itu selama empat tahun sebelum dikembalikan kepada ibu baginda di bawah jagaan datuk baginda, Abdul Muttalib.

Ketika Nabi baru mencecah umur tahun, Aminah telah meninggal dunia dalam perjalanan pulang dari makam suaminya, Abdullah.Tinggallah Nabi sebagai anak yatim piatu. Baginda telah dipelihara oleh datuknya, Abdul Muttalib yang amat mengasihinya. Namun dua tahun kemudian, datuknya pula meninggal dunia. Nabi Muhammad s.a.w. dijaga pula oleh ayah saudara yang juga sangat mengasihinya, iaitu Abu Talib bin Abdul Muttalib.

Walaupun miskin, namun sebagai seorang remaja Nabi Muhammad s.a.w. tetap berikhtiar membantu ayah saudaranya dengan mengambil mengembala kambing. Upah dari kerjanya itu digunakan baginda untuk menolong Abu Talib menyara hidup mereka sehari-hari.

Ketika berusia 12 tahun, Abu Talib telah membawa Nabi Muhammad s.a.w. ke Negeri Syam (Palestin) untuk berdagang. Dalam perjalanan ke sana seorang pendeta Nasrani telah memerhatikan Nabi lalu berpesan kepada Abu Talib supaya menjaga anak saudaranya itu dengan baik kerana ia bakal menjadi seorang Nabi.

Nabi Muhammad s.a.w. telah berkahwin dengan Siti Khadijah binti Khuwailid ketika berumur 25 tahun. Siti Khadijah merupakan seorang wanita kaya dan mulia pada zamannya. Ketika berkahwin, usia Siti Khadijah adalah 40 tahun. Sebelum berkahwin, Nabi bekerja dengan membawa barang dagangan Siti Khadijah ke Syam untuk beroleh keuntungan.

Mencecah usia 40 tahun, Nabi Muhammad s.a.w. telah diangkat menjadi Rasul ALLAH di mana tanggungjawab menyampaikan perintah-perintah ALLAH kepada manusia telah diletakkan di atas bahu baginda.

Gua Hira' - tempat di mana Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu pertama dari ALLAH melalui Jibril a.s. sekaligus diangkat menjadi Rasul. Kini ia menjadi tumpuan umat Islam terutama yang mengerjakan haji dan umrah.

Sejak itu, Nabi Muhammad s.a.w. giat mengajak manusia agar memeluk agama Islam. Perkembangan agama Islam dan pertambahan pengikut Nabi menyebabkan musuh-musuh Islam berasa terancam. Mereka merancang untuk menghapuskan Nabi bagi menghalang agama Islam dari terus berkembang. Mereka telah menyiksa pengikut-pengikut Nabi, memujuk Nabi, mengancam Nabi dan pelbagai bentuk tentangan lagi.

Walau apa pun bentuk ancaman dan tentangan yang diterima, Nabi Muhammad s.a.w. dan umat Islam tetap tabah menghadapi ujian ALLAH. Walau bagaimanapun, ketika tentangan menjadi terlalu hebat, Nabi Muhammad s.a.w. telah menyuruh pengikutnya berhijrah ke Habsyah (Ethiopia). Di sana, rajanya seorang yang baik dan dengan senang hati memberi perlindungan kepada umat Islam.

Di tengah-tengah kemelut tentangan pihak kafir, Nabi Muhammad s.a.w. ditimpa satu lagi ujian yang sangat berat, iaitu bapa saudaranya Abu Thalib dan isteri baginda Siti Khadijah. Kedua-dua mereka ini adalah yang paling banyak menolong dan melindungi Nabi sepanjang baginda menjalankan tugas dakwah baginda. Dengan kewafatan baginda, Nabi Muhammad s.a.w. berasa amat sedih. Sewaktu sedang bersedih itulah Nabi dibawa oleh Malaikat Jibril ke langit untuk melihat kekuasaan ALLAH s.w.t. Peristiwa agung ini dinamakan Israk Mikraj.

Israk bererti perjalanan Rasulullah s.a.w. dari Masjidil Haram, Makkah ke Masjidil Aqsa, Palestin (gambar). Mikraj pula bermaksud perjalanan Rasulullah s.a.w. dari Masjid al-Aqsa ke Sidratul Muntaha. Pada masa kini, kaum Yahudi sedang berusaha memusnahkan tempat suci ini, sambil umat Islam serata dunia termasuk di Malaysia hanya membiarkan tanpa peduli dengan terus menyokong produk-produk mereka atas kepentingan sendiri.

Ancaman terhadap Nabi Muhammad s.a.w. semakin melampau selepas kewafatan Abu Thalib sehingga tibul rancangan untuk membunuh baginda. Dengan itu ALLAH telah memerintahkan Nabi berhijrah ke Madinah. Perjalanan Hijrah Rasulullah s.a.w. ini terjadi pada 12 Rabiul Awal, tahun ke-13 kerasulan baginda. Hari bersejarah ini jatuh pada 28 Jun 622 Masihi. Ketika ini baginda berusia 53 tahun.

Di Madinah, Islam diterima baik dan agama ALLAH ini telah berkembang dengan pesat sekali. Dengan kegigihan Rasulullah s.a.w. maka terbentuklah sebuah masyarakat Islam dan sebuah negara Islam di sana. Rasulullah s.a.w. telah menubuhkan sebuah angkatan tentera yang kuat sebagai perlindungan dari ancaman musuh. Dengan izin ALLAH penduduk Madinah berperang dengan musuh-musuh Islam yang zalim.

Islah telah berkembang dengan pesat ke serata tempat atas dakwah Nabi yang rapi dan tanpa gangguan. Perubahan besar berlaku di bumi dan orang-orang Islam mula disegani dan dihormati.

Rasulullah s.a.w. wafat pada usia 63 tahun. Baginda telah berusaha menyebar dan menegakkan syiar Islam selama 23 tahun, iaitu tiga belas tahun di Makkah dan sepuluh tahun di Madinah. Dakwah baginda di Makkah tidak begitu diterima dan tidak dapat berkembang dengan luas berbanding di Madinah.

Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w., sahabat-sahabat baginda telah meneruskan legasi baginda menyebarkan Islam ke serata dunia, salah satunya ke rantau Tanah Melayu ini.



Rujukan:
"Kisah Ringkas Kehidupan Rasulullah s.a.w." oleh Nawawi Duski. Thinkers Library Sdn. Bhd. (1990).

Gambar:
blog.zorex.info
article.wn.com
foto.detik.com
baitusafi.wordpress.com
josephcamilleri.com


KUIZ RIWAYAT HIDUP RASULULLAH S.A.W.



SEJAHTERA KE ATAS SEMUA. (",)

Muhammad Abdullah.. Rasulullah s.a.w... Al Amin.. Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w...

Rasul ALLAH yang telah banyak berkorban demi kita.. Yang tak pernah melupakan kita walaupun baginda tak pernah berjumpa kita. Betapa besar cinta Nabi terhadap kita, sehingga di saat ajalnya pun baginda masih menyebut "umatku.. umatku.." Sayangkah kita pada Rasulullah? Ingatkah kita pada baginda?

Sempena Maulidur Rasul yang bakal tiba, apa kata kite berleisure sambil mengingati sejarah hidup Junjungan Besar kita ini.. Jom refresh balik apa yang kita dah belajar, dah baca, dah dengar sejak kecik-kecik dulu. Kita mulakan dengan kuiz dulu, k? Saje nak test diri sejauh mana kita masih mengingati perjalanan hidup Nabi kita. Super simple soalannya, tapi sape tau. Kadang-kadang bende paling simple kite lupe kan? ;) Jom gerak..!

(Sambil-sambil tu marilah berselawat banyak-banyak. Setiap kali nampak "s.a.w.", kita selawat, ok? Kata Nabi, orang yang paling banyak berselawat ke atasnya, akan dapat masuk syurga dengan baginda!)

KUIZ SEJARAH HIDUP RASULULLAH S.A.W.
  • Apakah nama sebenar Nabi Muhammad s.a.w.?
  • Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan pada ...
  • Namakan: Ayah, ibu, datuk dan bapa saudara yang telah menjaga Nabi Muhammad s.a.w.
  • Siapakah Halimatun Saadiah?
  • Pada usia berapakah Nabi Muhammad s.a.w. berkahwin?
  • Sepanjang menjalani tanggunggjawabnya sebagai utusan ALLAH, Nabi Muhammad s.a.w. telah mengalami pelbagai ancaman, cacian dan hinaan dari pihak kafir Quraisy, termasuk bapa saudaranya sendiri. Siapakah bapa saudara Nabi yang dimaksudkan?
  • Siapakah nama isteri pertama Nabi Muhammad s.a.w.?
  • Apakah peristiwa penting yang terjadi di Gua Hira'?
  • Nabi Muhammad s.a.w. diutus menjadi Rasul pada usia...
  • Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang 'ummi'. Apa itu 'ummi'?
  • Nabi Muhammad s.a.w. pernah mengalami 'Tahun Kesedihan' akibat pemergian dua orang yang sangat dikasihinya mengadap Ilahi. Siapakh kedua insan tersebut?
  • Mengapakah Nabi Muhammad s.a.w. diangkat ke langit dalam peristiwa Israk Mikraj?
  • Apakah yang dimaksudkan dengan Perjanjian Hudaibiyah?
  • Mengapakah Nabi Muhammad s.a.w. dan umat Islam berhijrah ke Madinah?
  • Dalam perjalanan menuju ke Madinah, Nabi Muhammad s.a.w. telah bersembunyi di sebuah gua bersama seorang sahabatnya. Apakah nama gua tersebut dan siapakah sahabat yang menemani baginda?
  • Bilakah Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah ke Madinah?
  • Apakah yang terkandung dalam Piagam Madinah?
  • Senaraikan nama isteri-isteri Nabi Muhammad s.a.w.
  • Sepanjang hayatnya, Nabi Muhammad s.a.w. telah dikurniakan dengan ___ orang anak lelaki dan ____ orang anak perempuan.
  • Warna kegemaran Nabi Muhammad s.a.w.?
  • Haiwan kesayangan Nabi Muhammad s.a.w.?
  • Nabi Muhammad s.a.w. wafat pada usia .....
  • Nabi Muhammad s.a.w. telah menjadi Nabi dan Rasul selama _____ tahun.


Err.. amacam? Oke tak soalannye? Super simple kan.. huhu. Dapat jawab semua tak? Kalau ye, alhamdulillah.. Kalau tak pun, alhamdulillah gak.. At least berminat nak tau jawapannye kan.. Takpe.. nanti kite cari same2 jawapannye dalam entry2 akan datang ea. Jangan segan silu belajar ilmu agama. Walau sebasic mana pun ilmu tu, besar pahalanya, insya-ALLAH. ^^

Allahummasalli ala Muhammad.
Allahummasalli alaihi wassalam.

Thanx for ur time, jangan lupe follow entry2 Maulud Nabi akan datang ye! 

Jan 18, 2011

MENANGIS KERANA TAKUTKAN ALLAH S.W.T.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya."


     Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka. Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata, "Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada ALLAH s.w.t., maka ALLAH s.w.t. mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."

     Akhirnya ALLAH s.w.t. mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada ALLAH s.w.t. Malaikat Jibril a.s. mengumumkan, "Telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut."




     Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. ALLAH s.w.t. berfirman yang bermaksud, "Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan." (Surah al-Jatsiyah ayat 28)

      Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi sahaja yang akan berkata, "Umatku, umatku." Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.


     Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad s.a.w. berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali."

     Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad s.a.w." Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah s.a.w. meraihnya.

     Berkata Jibril a.s. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda s.a.w. mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu.

     Setelah itu Rasulullah s.a.w. pun bertanya kepada Jibril a.s. "Wahai Jibril, Apakah air itu?"

     Jibril berkata, "Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah s.w.t. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allah s.w.t.

     Telah bersabda Rasulullah s.a.w., " Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata."