Feb 10, 2011

SEJARAH RINGKAS RASULULLAH S.A.W.

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagimu ...
(Al Ahzab:21)

Muhammad itu adalah utusan ALLAH dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap kafir tetapi berkasih sayang sesama mereka ...
(Al-Fath:29)


Nabi Muhammad s.a.w. telah dilahirkan pada 12 Rabiul Awal, bersamaan dengan 20 April 571 Masihi. Ayahanda baginda Abdullah bin Abdul Muttalib telah wafat sewaktu Nabi masih berada dalam rahim ibunya. Kemudian tibalah masa si ibu, Aminah binti Wahab melahirkan anaknya. Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan sempurna tanpa cacat cela.

Ibu Nabi telah menyusukan baginda selama tiga hari. Kemudian baginda telah disusukan oleh Tsuwaibah dan akhirnya diletakkan di bawah jagaan Halimatun Saadiah. Halimatun Saadiah telah membawa Nabi ke rumahnya di luar kota Makkah. Nabi telah tinggal bersama ibu susuannya itu selama empat tahun sebelum dikembalikan kepada ibu baginda di bawah jagaan datuk baginda, Abdul Muttalib.

Ketika Nabi baru mencecah umur tahun, Aminah telah meninggal dunia dalam perjalanan pulang dari makam suaminya, Abdullah.Tinggallah Nabi sebagai anak yatim piatu. Baginda telah dipelihara oleh datuknya, Abdul Muttalib yang amat mengasihinya. Namun dua tahun kemudian, datuknya pula meninggal dunia. Nabi Muhammad s.a.w. dijaga pula oleh ayah saudara yang juga sangat mengasihinya, iaitu Abu Talib bin Abdul Muttalib.

Walaupun miskin, namun sebagai seorang remaja Nabi Muhammad s.a.w. tetap berikhtiar membantu ayah saudaranya dengan mengambil mengembala kambing. Upah dari kerjanya itu digunakan baginda untuk menolong Abu Talib menyara hidup mereka sehari-hari.

Ketika berusia 12 tahun, Abu Talib telah membawa Nabi Muhammad s.a.w. ke Negeri Syam (Palestin) untuk berdagang. Dalam perjalanan ke sana seorang pendeta Nasrani telah memerhatikan Nabi lalu berpesan kepada Abu Talib supaya menjaga anak saudaranya itu dengan baik kerana ia bakal menjadi seorang Nabi.

Nabi Muhammad s.a.w. telah berkahwin dengan Siti Khadijah binti Khuwailid ketika berumur 25 tahun. Siti Khadijah merupakan seorang wanita kaya dan mulia pada zamannya. Ketika berkahwin, usia Siti Khadijah adalah 40 tahun. Sebelum berkahwin, Nabi bekerja dengan membawa barang dagangan Siti Khadijah ke Syam untuk beroleh keuntungan.

Mencecah usia 40 tahun, Nabi Muhammad s.a.w. telah diangkat menjadi Rasul ALLAH di mana tanggungjawab menyampaikan perintah-perintah ALLAH kepada manusia telah diletakkan di atas bahu baginda.

Gua Hira' - tempat di mana Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu pertama dari ALLAH melalui Jibril a.s. sekaligus diangkat menjadi Rasul. Kini ia menjadi tumpuan umat Islam terutama yang mengerjakan haji dan umrah.

Sejak itu, Nabi Muhammad s.a.w. giat mengajak manusia agar memeluk agama Islam. Perkembangan agama Islam dan pertambahan pengikut Nabi menyebabkan musuh-musuh Islam berasa terancam. Mereka merancang untuk menghapuskan Nabi bagi menghalang agama Islam dari terus berkembang. Mereka telah menyiksa pengikut-pengikut Nabi, memujuk Nabi, mengancam Nabi dan pelbagai bentuk tentangan lagi.

Walau apa pun bentuk ancaman dan tentangan yang diterima, Nabi Muhammad s.a.w. dan umat Islam tetap tabah menghadapi ujian ALLAH. Walau bagaimanapun, ketika tentangan menjadi terlalu hebat, Nabi Muhammad s.a.w. telah menyuruh pengikutnya berhijrah ke Habsyah (Ethiopia). Di sana, rajanya seorang yang baik dan dengan senang hati memberi perlindungan kepada umat Islam.

Di tengah-tengah kemelut tentangan pihak kafir, Nabi Muhammad s.a.w. ditimpa satu lagi ujian yang sangat berat, iaitu bapa saudaranya Abu Thalib dan isteri baginda Siti Khadijah. Kedua-dua mereka ini adalah yang paling banyak menolong dan melindungi Nabi sepanjang baginda menjalankan tugas dakwah baginda. Dengan kewafatan baginda, Nabi Muhammad s.a.w. berasa amat sedih. Sewaktu sedang bersedih itulah Nabi dibawa oleh Malaikat Jibril ke langit untuk melihat kekuasaan ALLAH s.w.t. Peristiwa agung ini dinamakan Israk Mikraj.

Israk bererti perjalanan Rasulullah s.a.w. dari Masjidil Haram, Makkah ke Masjidil Aqsa, Palestin (gambar). Mikraj pula bermaksud perjalanan Rasulullah s.a.w. dari Masjid al-Aqsa ke Sidratul Muntaha. Pada masa kini, kaum Yahudi sedang berusaha memusnahkan tempat suci ini, sambil umat Islam serata dunia termasuk di Malaysia hanya membiarkan tanpa peduli dengan terus menyokong produk-produk mereka atas kepentingan sendiri.

Ancaman terhadap Nabi Muhammad s.a.w. semakin melampau selepas kewafatan Abu Thalib sehingga tibul rancangan untuk membunuh baginda. Dengan itu ALLAH telah memerintahkan Nabi berhijrah ke Madinah. Perjalanan Hijrah Rasulullah s.a.w. ini terjadi pada 12 Rabiul Awal, tahun ke-13 kerasulan baginda. Hari bersejarah ini jatuh pada 28 Jun 622 Masihi. Ketika ini baginda berusia 53 tahun.

Di Madinah, Islam diterima baik dan agama ALLAH ini telah berkembang dengan pesat sekali. Dengan kegigihan Rasulullah s.a.w. maka terbentuklah sebuah masyarakat Islam dan sebuah negara Islam di sana. Rasulullah s.a.w. telah menubuhkan sebuah angkatan tentera yang kuat sebagai perlindungan dari ancaman musuh. Dengan izin ALLAH penduduk Madinah berperang dengan musuh-musuh Islam yang zalim.

Islah telah berkembang dengan pesat ke serata tempat atas dakwah Nabi yang rapi dan tanpa gangguan. Perubahan besar berlaku di bumi dan orang-orang Islam mula disegani dan dihormati.

Rasulullah s.a.w. wafat pada usia 63 tahun. Baginda telah berusaha menyebar dan menegakkan syiar Islam selama 23 tahun, iaitu tiga belas tahun di Makkah dan sepuluh tahun di Madinah. Dakwah baginda di Makkah tidak begitu diterima dan tidak dapat berkembang dengan luas berbanding di Madinah.

Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w., sahabat-sahabat baginda telah meneruskan legasi baginda menyebarkan Islam ke serata dunia, salah satunya ke rantau Tanah Melayu ini.



Rujukan:
"Kisah Ringkas Kehidupan Rasulullah s.a.w." oleh Nawawi Duski. Thinkers Library Sdn. Bhd. (1990).

Gambar:
blog.zorex.info
article.wn.com
foto.detik.com
baitusafi.wordpress.com
josephcamilleri.com


No comments: