Feb 15, 2011

MUHAMMAD S.A.W. DI MATA DUNIA



Daripada What They Say About Muhammad (pbuh), http://islamislife.org/?p=197


Sejahtera ke atasmu wahai pembaca. (",)
Terdapat ramai ahli sejarah dan pemikir terkenal yang telah menyatakan pandangan mereka tentang Nabi Muhammad s.a.w. dengan cara positif dan berunsur pujian. Mereka telah berusaha menghapuskan tanggapan-tanggapan negatif yang sering dilemparkan kepada Rasulullah s.aw., dan dengan tepat menggambarkan baginda sebagai seorang yang memulihkan nilai-nilai moral, mempunyai jiwa yang hebat dan berani berkempen menentang kepercayaan primitif. Di sini disenaraikan beberapa petikan ayat-ayat daripada para sejarawan dan ilmuwan tentang Rasulullah s.a.w.:

(nota: Pada beberapa petikan di bawah, akan didapati istilah 'Muhammadanism' telah digunakan oleh beberapa penulis. Istilah ini biasa digunakan oleh penulis-penulis Barat dari zaman silam, namun sebenarnya penggunaan perkataan ini adalah diharamkan dalam Islam. Ini disebabkan istilah 'Muhammadanism' membawa erti yang bertentangan dengan agama Islam iaitu 'penyembahan terhadap Muhammad'. Misi Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk menyebarkan ajaran menyembah ALLAH Yang Maha Esa, satu-satunya Tuhan yang menciptakan langit dan bumi.)

Michael Hart dalam The 100, A Ranking of the Most Influential Persons In History, New York, 1978.
Keputusan saya untuk memilih Muhammad (s.a.w.) sebagai individu paling berpengaruh dalam sejarah berkemungkinan akan memeranjatkan pembaca dan menimbulkan pertikaian, namun beliau merupakan satu-satunya tokoh sejarah yang berjaya mencapai kejayaan yang menakjubkan dalam kedua-dua bidang agama dan sekular.
...Ada kemungkinan pengaruh Muhammad (s.a.w.) melangkaui gabungan pengaruh Jesus Christ dan St. Paul dalam Kristian.
...Kombinasi pengaruh dalam bidang agama dan sekular telah membuatkan saya memilih Muhammad (s.a.w.) sebagai tokoh paling berpengaruh dalam sejarah manusia.

Thomas Carlyle dalam Heroes and Hero Worship and the Heroic in History, 1840
Fitnah yang dilemparkan oleh Barat terhadap Muhammad (s.a.w.) adalah satu perbuatan yang tercela. Muhammad (s.a.w.) seorang yang hebat dalam diamnya, beliau seorang yang bersungguh-sungguh. Beliau telah menghidupkan dunia ini.

A. S. Tritton dalam Islam, 1951
Gambaran tentang pejuang-pejuang Islam mara dengan pedang di sebelah tangan dan al-Quran di tangan yang lain adalah palsu.

De Lacy O’Leary dalam Islam at the Crossroads, London, 1923.
Sejarah membuktikan bahawa 'lagenda' tentang fanatik Islam yang menguasai umat manusia dengan menggunakan pedang adalah satu MITOS yang hebat!

Gibbon dalam The Decline and Fall of the Roman Empire, 1823
Naluri yang baik yang terdapat dalam diri Muhammad menyebabkan beliau tidak berkeinginan terhadap kemewahan dan kemegahan. Pesuruh Tuhan ini membantu keluarganya melakukan kerja: beliau menghidupkan api, menyapu lantai, memerah susu kambing biri-biri, dan membaiki sendiri pakaian dan kasutnya.

Edward Gibbon and Simon Oakley dalam History of the Saracen Empire, London, 1870
Muhammad (s.a.w.) berjaya mencapai kejayaan yang besar dalam hidup beliau disebabkan kekuatan moralnya. Kita berasa kagum bukan pada penyebaran agamanya, tetapi pada pengekalan dan pemeliharaan nilai-nilai dalam agamanya. Tanggapan tentang Islam yang suci dan sempurna yang dibentuk oleh Muhammad (s.a.w.) di Mekah dan Madina, telah dipelihara dengan baik dan diamalkan oleh umat Islam seluruh dunia selepasnya, seperti India, Afrika dan Turki.. Pengikut Muhammad (s.a.w.) telah berjaya mempertahankan prinsip dan kepercayaan mereka dan tidak mengubahnya mengikut kehendak dan imaginasi manusia. 'Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH, dan Nabi Muhammad (s.a.w.) itu pesuruh ALLAH' merupakan pengakuan iman umat Islam yang ringkas dan muktamad. Umat Islam tidak pernah merendah-rendahkan Tuhan mereka dengan membuat ukiran patung-patung..




Reverend Bosworth Smith dalam Muhammad and Muhammadanism, London, 1874.
Memegang tanggungjawab sebagai ketua negara dan agama, Muhammad (s.a.w.) merupakan 'Caesar' dan 'Pope' dalam satu masa; tetapi beliau adalah Pope tanpa tuntutan dari Pope, dan Caesar tanpa pasukan tentera Caesar, tanpa bala tentera, tanpa pengawal, tanpa kekuatan polis, tanpa pendapatan tetap. Jika terdapat manusia yang memerintah dengan cara ketuhanan, Muhammad (s.a.w.)lah orangnya, kerana beliau mempunyai kekuatan tanpa sokongan-sokongan pihak yang disebutkan tadi...

Segalanya berbeza dalam era Muhammad (s.a.w.). Kita mendapati sejarah, bukan kesamaran dan misteri. Kita sedia maklum dengan sejarah luaran tentang Muhammad (s.a.w.), sedang sejarah dalamannya pula (selepas Muhammad s.a.w. diutuskan), terdapat satu buku yang sangat unik dari segi asal usulnya dan pemeliharaanya.. di dalam jagaan Kerajaan yang Kukuh di mana tiada siapa mampu mencetuskan sebarang keraguan dan pertikaian yang kukuh tentangnya.

Edward Montet dalam La Propagande Chretienne et ses Adversaries Musulmans, Paris 1890. (Juga dalam The Preaching of Islam oleh T.W. Arnold, London 1913.)
Secara dasarnya, Islam adalah agama yang rasional dari pelbagai segi termasuk asal-usul dan sejarahnya. Al-Quran telah menjadi titik tolak permulaannya di mana kepercayaan terhadap Tuhan yang Maha Esa ditekankan di dalamnya. Keyakinan dan kemurnian yang kuat yang diterapkan dalam Islam adalah sesuatu yang sukar dijumpai di luar agama ini. Kepercayaan yang tepat dan tidak rumit ini menyebabkan ia mudah diterima oleh manusia. Islam mempunyai kuasa yang hebat dalam memenangi hati nurani manusia.

Alphonse de LaMartaine dalam  Historie de la Turquie, Paris, 1854.

Alphonse de LaMartaine
Belum pernah ada manusia yang menetapkan dirinya- sama ada secara sukarela atau tidak- dalam satu matlamat yang agung: iaitu menghapuskan kepercayaan karut antara manusia dan Penciptanya, menyampaikan Tuhan kepada manusia dan manusia kepada Tuhan, dan mengembalikan kerasionalan dan konsep ketuhanan yang sebenar di tengah-tengah kekecohan manusia yang menggambarkan Tuhan dengan bentuk yang jelik melalui pembinaan patung-patung berhala.

Belum pernah ada manusia yang sanggup mengambil tanggungjawab yang melampaui keupayaan manusia biasa tanpa kemampuan dan pertolongan yang kuat. Muhammad (s.a.w.) tidak mempunyai daya upaya melainkan dirinya sendiri dan sedikit pertolongan dan sokongan dari segelintir masyarakat yang hidup di pinggir gurun.

Akhir sekali, belum pernah ada manusia yang mencapai kejayaan yang sangat besar dan berkekalan sehingga hari ini di dunia ini, selain Muhammad (s.a.w.). Ini disebabkan dalam masa kurang dari dua abad (200 tahun) selepas kemunculannya, Islam telah tersebar ke seluruh bumi Arab, dan menakluki kerajaan Parsi (kerajaan dunia terbesar), Transoxania, India Barat, Syria, Mesir, Abisinia, keseluruhan benua Afrika Utara yang diketahui, kebanyakan pulau-pulau di Laut Mediterranean, Sepanyol dan sebahagian dari Gaul.

Jika matlamat yang unggul, keupayaan yang kecil dan pencapaian yang menakjubkan merupakan tiga ciri-ciri manusia genius, maka siapakah yang berani membandingkan mana-mana tokoh dalam dunia ini dengan Muhammad (s.a.w.)? Kebanyakan tokoh terkenal dunia hanya membentuk kekuatan tentera, undang-undang dan empayar. Mereka hanya memiliki kekuasaan material yang kebiasannya akan musnah di hadapan mata mereka. Sedangkan Muhammad (s.a.w.) bukan sahaja berjaya menggerakkan bala tentera, undang-undang, empayar-empayar, rakyat, dan dinasti, malah juga berjuta-juta manusia yang mendiami satu pertiga Bumi pada masa itu. Lebih dari itu, Muhammad (s.a.w.) berjaya mengubah altar-altar, tuhan-tuhan, agama-agama, ideologi-ideologi, kepercayaan dan jiwa-jiwa manusia. 


Dengan berdasarkan sebuah Buku, yang setiap huruf di dalamnya menjadi undang-undang dan pegangan Islam, Muhammad (s.a.w.) telah berjaya membentuk semangat kebangsaan yang menyatukan manusia dari pelbagai bangsa. Beliau telah memupuk semangat di kalangan bangsa yang tidak terhapus ini tentang kebencian terhadap tuhan palsu dan kecintaan terhadap Tuhan yang Maha Esa. Semangat patriotik dalam menentang penghinaan terhadap Syurga telah membentuk moral yang terpuji di kalangan pengikut Muhammad (s.a.w.); Penaklukan Islam terhadap satu pertiga dunia merupakan satu keajaiban Muhammad (s.a.w.).

Usaha Muhammad (s.a.w.) dalam menyeru manusia kepada Tuhan yang Satu, di tengah-tengah kepupusan ajaran nenek moyang (nabi-nabi sebelumnya), merupakan satu keajaiban di mana kata-kata yang keluar dari bibirnya telah berjaya memusnahkan kuil-kuil kuno dan berhala-berhala, serta menguasai satu pertiga dunia. Kehidupannya, meditasinya, keberaniannya dalam menentang kepercayaan karut di tempat tinggalnya, dan kelantangannya dalam mengkritik pemujaan berhala, ketegasannya dalam mengekalkan prinsip dan pegangan beliau selama 15 tahun di Mekah, ketabahannya dalam menerima tentangan, hinaan dan kekejaman kaumnya.. Agama yang dianut dan diajar oleh Muhammad (s.a.w.) ini  telah menggabungkan dua aspek: Tuhan itu Maha Esa dan Tuhan itu tidak boleh digambarkan secara jasmani. Manusia yang terdahulu menyatakan apa itu Tuhan, sedang yang terakhir ini menyatakan apa yang tidak tentang Tuhan. Yang terdahulu menggulingkan tuhan palsu dengan menggunakan pedang, sedang yang terakhir ini menggunakan perkataan untuk menyampaikan ideanya.

Ahli falsafah, pemidato, rasul, pembuat undang-undang, penakluk pemikiran, pemulih kepercayaan... Pengasas kepada dua puluh empayar dunia dan satu empayar agama. Dialah Muhammad (s.a.w.). Setelah dikaji menggunakan semua kriteria-kriteria yang dikehendaki untuk mengukur keunggulan seseorang, kita boleh bertanya, adakah manusia lain sehebat Muhammad (s.a.w.)?


Mahatma Gandhi, dalam pernyataannya yang dicetak pada Young India,1924

Mahatma Gandhi
 Saya ingin mengetahui tentang kehidupan seseorang yang sehingga hari ini telah memegang satu kekuasaan yang tidak dapat dipertikaikan.. yang telah menguasai hati berjuta-juta manusia.. Dan hasilnya saya semakin yakin bahawa Islam berjaya bukanlah melalui senjata (kekerasan). Muhammad (s.a.w.) mencapai kejayaan disebabkan kesederhanaannya, ketelitiannya dalam menghormati perjanjian-perjanjian, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada sahabat dan pengikutnya, keberaniannya dan kepercayaannya yang kukuh terhadap Tuhan dan misinya... Semua ini- dan bukan senjata- yang telah membawa kepada kejayaan Muhammad (s.a.w.) dan umat Islam, dan membantu mereka mengatasi segala halangan dan cabaran. Sewaktu saya habis membaca siri kedua biografi Muhammad (s.a.w.), saya berasa hampa kerana tidak ada lagi yang boleh saya baca tentang insan yang hebat ini.


Sir George Bernard Shaw dalam The Genuine Islam, Vol. 1, No. 8, 1936.
Jika ada agama yang mempunyai potensi untuk menguasai England, Islam mempunyai potensi itu. Sejak sekian lama saya memandang tinggi pada agama yang dianuti dan diajar oleh Muhammad ini disebabkan daya hidupnya yang mengagumkan. Saya telah mengkaji tentangnya, lelaki yang hebat ini, dan saya berpendapat Muhammad (s.a.w.) sewajarnya digelar Penyelamat Umat Manusia, dan bukannya 'anti-Christ.'

Saya percaya jika lelaki sepertinya dikehendaki menghadapi kediktatoran di dunia moden ini, Muhammad (s.a.w.) akan berjaya menyelesaikan masalah itu dengan cara yang membawa kepada keamanan dan kebahagiaan. Kepercayaan Muhammad (s.a.w.) boleh diterima dalam dunia Eropah pada masa akan datang memandangkan ia sudah mula diterima oleh dunia Eropah pada masa kini,

Dr. William Draper dalam History of Intellectual Development of Europe
Empat tahun selepas kematian Justinian, 569 S.M., lahirlah di Mekah, Arab, seorang lelaki yang bakal melaksanakan pengaruh yang paling hebat ke atas bangsa manusia. Memegang tanggungjawab sebagai ketua agama empayar-empayar, dan menjadi panduan kepada satu pertiga umat manusia, Muhammad (s.a.w.) memang layak memegang gelaran "Pesuruh Tuhan."

Arthur Glyn Leonard in ‘Islam, Her Moral and Spiritual Values’
Kegeniusan Muhammad (s.a.w.) dan semangat yang diberikannya ke atas orang-orang Arab melalui Islam telah meninggikan darjat mereka. Mereka telah meningkat dari kelesuan dan kebekuan kepada kesatuan bangsa dan empayar yang tinggi. Sifat-sifat terpuji Muhammad (s.a.w.), keagungan, ketenangan, dan kesetiaan beliau terhadap prinsip-prinsipnya telah menjadi sumber inspirasi kepada mereka.





No comments: