Dec 26, 2010

PEMUTUS UKHWAH AHLI NERAKA

FIRMAN Allah SWT: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh Rahmat. (Al-Hujarat, 10)

Di dalam Islam, dinyatakan bahawa semua lelaki mahupun perempuan adalah bersaudara tanpa mengira kaum dan warna kulit tetapi dengan batasan pergaulan tertentu yang dibenarkan.

Islam jelas menyatakan, tatkala putus hubungan antara dua manusia, maka akan jatuhlah dosa berikutan ia juga tersenarai sebagai satu langkah syaitan dalam menghancurkan semangat ‘ukhwah’ dalam masyarakat.

Hadis riwayat Abu Dawud menyatakan bahawa Abu Khirasy Al Aslami RA mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidak halal seorang Muslim memutuskan hubungan dengan saudaranya (sesama Muslim) lebih daripada tiga hari, barang siapa memutuskan lebih daripada tiga hari dan meninggal, maka ia masuk dalam golongan ahli neraka.”

Untuk membuktikan betapa buruknya memutuskan hubungan antara sesama Muslim, cukup dengan mengetahui bahawa Allah menolak keampunan kepada mereka sebagaimana riwayat Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW menyatakan: “Semua amal manusia diperlihatkan (kepada Allah) pada setiap pada hari (yang tertentu), maka setiap hamba-Nya yang beriman diampuni (dosanya) kecuali hamba yang di antara dirinya dengan saudaranya ada permusuhan.”

Maka, difirmankan kepada malaikat: “Tinggalkanlah atau tangguhkanlah (pengampunan untuk) dua orang ini sehingga keduanya kembali berdamai.” (Riwayat Muslim, 4/1988) Umat Islam dianjurkan untuk bertaubat apabila memutuskan silaturahim sesama Muslim, malah selain itu juga disyaratkan membina semula hubungan silaturahim yang terpisah itu dengan memberi salam kepada rakan dimusuhi.

Jika ia dilakukan tetapi tetap juga ditolak oleh sahabat itu tadi, maka dalam keadaan itu dosa berkenaan hanya ditanggung oleh sahabat yang tidak ingin berdamai itu tadi.

Menurut Ibnu Abu Jamrah, hubungan silaturahim boleh dieratkan dengan memberi harta, memberi bantuan dan pertolongan dalam menyampaikan hajat, menolak kemudaratan (kemungkaran), bersemuka, mendoakan, mengeratkan dengan apa yang termampu daripada perkara kebajikan dan menolak apa yang termampu daripada keburukan.

Begitu juga dengan mendermakan harta kepada kaum kerabat di mana Rasulullah SAW bersabda: “Memberi sedekah kepada orang miskin dikira satu sedekah, namun memberi sedekah kepada mahram dikira dua iaitu sedekah dan mengeratkan hubungan sedia ada.” (Sunan ad-Darimi)

Berdasarkan kitab Bujairimi Ala al-Khatib, orang yang mengeratkan silaturahim akan mendapat beberapa kelebihan iaitu mendapat keredaan Allah SWT, memberi kebahagiaan, mendapat doa daripada malaikat, memperoleh pujian baik daripada masyarakat, mengisi kesedihan Iblis, dipanjangkan umur, mendapat keberkatan dalam rezeki yang diterima, dihormati.

Oleh yang demikian, kita perlu mempereratkan hubungan sesama Muslim terutama hubungan sudah retak itu dengan rasa kesedaran serta keinsafan, apatah lagi kerana mereka yang tidak mahu berdamai itu tidak akan memperoleh keampunan daripada Allah SWT hinggalah ada antara mereka berdamai.



Sumber: Harian Metro

No comments: