Aug 1, 2011

MANUAL PUASA 1: DEFINISI, RUKUN-RUKUN & SYARAT-SYARAT PUASA

Assalamualaikum, sejahtera ke atas semua terutama pembaca beragama Islam. Sempena bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan mulia ini, saya ingin membuat beberapa entry khas berkaitan puasa. Jom sama-sama ulangkaji balik tentang puasa.. mana tau ada yang kita terlupa atau tak pernah tahu sebelum ni.. semoga puasa kita lebih mantap, sempurna dan diterima ALLAH s.w.t. tahun ini dan tahun-tahun seterusnya, insya-ALLAH. Kita mulakan dengan pengertian, rukun dan syarat puasa..


DEFINISI PUASA
Menahan diri dari segala sesuatu yang membatalkan puasa, bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari dengan syarat-syarat tertentu (J) dan berserta dengan niat (Sh., M.)


RUKUN PUASA
  •  Menahan Diri: Menahan diri dari segala perkara yang boleh membatalkan puasa. (J.)
  • Niat juga merupakan salah satu rukun puasa (M., Sh.)


SYARAT SAH PUASA

1. Baligh
  • Puasa tidak diwajibkan ke atas orang yang belum baligh (J.)
  • Walau bagaimanapun, kanak-kanak digalakkan berpuasa apabila mereka mencapai umur 7 tahun jika mereka berdaya.
  • Kanak-kanak yang berumur 10 juga boleh dipukul (mengajar, bukan mendera) jika meninggalkan puasa.

2. Islam
  • Puasa orang kafir adalah tidak sah (J.)
  • Walau bagaimanapun, mereka akan tetap dihukum di akhirat kerana meninggalkannya, memandangkan mereka juga disuruh menunaikan cabang-cabang tuntutan syari'at (M, Sh.)
  • Orang murtad yang telah kembali kepada Islam juga hendaklah mengqada semula puasa yang telah ditinggalkannya. (Sh.)

3. Masuk bulan Ramadhan
  • Tidak wajib puasa Ramadhan jika tidak sabit (masuknya) bulan Ramadhan, malahan puasanya itu tidak sah. (J.)

4. Berpuasa pada Hari-hari yang Sah Puasa
  • Terdapat beberapa hari yang tidak harus berpuasa, contohnya hari raya. Jika ada yang berpuasa maka puasanya itu tidak sah. (M, Sh. H.)
  • Sah puasa tapi berdosa (H)

5. Suci dari haid dan nifas
  • Tidak sah puasa orang yang haid atau nifas. Jika mereka berpuasa, maka mereka akan dikenakan dosa (J)
  • Wajib ke atas mereka mengqadakan hari-hari yang ditinggalkan (J)
  • Jika haid dan nifas berlaku sebelum matahari terbenam walaupun sekejap (ketika mereka berpuasa), maka rosaklah puasa tersebut dan wajib diqada'kannya (J) dan tidak dikenakan fidyah ke atas kedua-dua mereka (J)
  • Jika haid terputus pada malam hari sedangkan dia berpuasa, jika diniatkan puasa sebelum naiknya fajar walaupun dia melambat-lambatkan mandi hingga naik fajar, maka puasanya masih sah. (J)
  • Jika dia didatangi haid atau nifas pada siang hari Ramadhan, maka:
i.             wajib dia menahan diri sehingga ke penghujung hari sebagai menghormati kemuliaan bulan puasa (H., B)
ii.           Tidak wajib dia menahan diri (M)
iii.         Tidak wajib tetapi sunat berbuat demikian (Sh.)

6. Berakal


HUKUM PUASA BAGI:

1. Orang gila atau gila sekali sekala
  • Apabila seseorang yang sedang berpuasa gila walaupun sekejap, maka tidak wajib ke atasnya puasa, bahkan tidak sah kalau dia berpuasa (J).
  • Orang gila atau gila sekali sekala tidak wajib mengqada puasa yang ditinggalkan kerana gila, tetapi wajib ke atasnya mengqada’kan hari-hari yang dia tidak berpuasa kerana gila mengikut penjelasan mazhab-mazhab seperti berikut:
i.             gila disebabkan perbuatan yang sengaja dilakukannya (contoh: mengambil sesuatu yang menghilangkan akalnya). (Sh.)
ii.           Jika gilanya berterusan sepanjang Ramadhan, maka tidak wajib dia mengqada’kannya. Jika dia kembali siuman pada sebahagian Ramadhan, maka wajib dia mengqada’kan semula yang tertinggal (H).
iii.         Jika dia gila sepruh hari atau kurang dari itu, maka wajib diqada’kannya. Jika lebih dari separuh hari, maka tidak perlu dia mengqada’kannya (M).
iv.          Jika dia gila sepanjang hari, maka tidak wajib diqada’kannya. Jika dia siuman walaupun seketika, maka wajib dia mengqada’kan puasa hari tersebut (B).


2. Orang Pengsan/ Pitam
  • Jika dia pengsan sepanjang hari, maka wajib dia mengqada’kannya. Jika dia pengsan separuh hari, puasanya masih sah. (Sh.)
  • Jika dia pengsan sepanjang-panjang Ramadhan, maka tidak wajib dia mengqada’kannya. Jika dia sedar pada sebahagiannya, maka wajib diqada’kan mana yang tertinggal. (H)
  • Jika dia pengsan separuh hari atau lebih separuh, maka wajib dia mengqada’kannya. Jika kurang dari itu, maka puasanya masih sah, jika dia sedar semasa niat dibuat. (M)
  • Jika dia sedar dari pengsan walaupun sekejap pada siang hari, puasanya tetap sah. Jika tidak sedar wajib dia mengqada’kannya. (B)


3. Orang yang Mabuk
  • Orang yang mabuk sama ada disebabkan perbuatan memakan meminum sesuatu yang diharamkan atau halal, hukumnya samalah seperti orang yang pengsan (M, B, H)
  •  Orang yang mabuk kerana sengaja, wajib mengqada’kan puasanya (Sh)


4. Orang yang Tidur
  • Orang yang tidur hukum puasanya sah, walaupun dia tidur dari fajar hingga maghrib dengan syarat dia berniat puasa. (J)


5. Orang Tua dan Orang Sakit
  • Orang yang tersangat tua dan lemah (yang tidak berdaya untuk berpuasa sepanjang tahun) dan orang yang sakit (yang tiada harapan sembuh) boleh berbuka dan tidak wajib mengqada’kan puasa. (J)
  • Wajib bayar fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan memberi makan kepada orang miskin (H., Sh., B)
  • Tidak wajib dia membayar fidyah, namun disunatkan berbuat demikian. (M)
  • Jika dia berdaya untuk berpuasa sebelum sempat fidyah dikeluarkan, maka wajib dia mengqada puasanya, dan tidak harus mengeluarkan fidyah (B)


6. Orang yang Berhadapan dengan Kepayahan
  • Jika kepayahan itu teramat sangat dan menyebabkan dia takut berlaku kemusnahan ke atas dirinya seperti lapar atau dahaga yang teramat sangat, atau wanita yang takut kemusnahan berlaku ke atas dirinya disebabkan dia menyempurnakan khidmat kepada suaminya sedangkan dia berpuasa, maka harus dia berbuka dalam keadaan-keadaan begini dan wajib diqadakannya tanpa membayar fidyah (J)


7. Orang yang Bermukim
  • Orang yang musafir harus berbuka dengan syarat safarnya itu halal (bukan safar maksiat) dan harus baginya mengqasarkan sembahyangnya. Dia juga wajib mengqadakan puasa yang dibukanya. (J)


8. Orang yang Sihat
  • Orang yang sihat harus berbuka dalam beberapa keadaan, bahkan wajib dalam beberapa keadaan yang lain. (J)
  • Wajib ke atasnya mengqadakanya tanpa dikenakan fidyah. (J)


9. Wanita Hamil dan Menyusu
  • Wanita yang hamil dan wanita yang menyusu harus membuka puasanya dalam beberapa keadaan. (J)

Nota singkatan kata:
1. (B) = Mazhab Hanbali
2. (H) = Mazhab Hanafi
3. (M) = Mazhab Maliki
4. (Sh.) = Mazhab Shafi'i
5. (J) = al-Jamaah: Disepakati oleh semua fuqaha'.

Next: NIAT PUASA (insya-Allah..)

**Kesemua ilmu di atas telah diambil dari buku "Manual Puasa: Pusat Khidmat Islam Bersepadu, Universiti Teknologi MARA SHAH ALAM" oleh saya untuk perkongsian bersama 

No comments: