Jan 12, 2011

PENYUMBAT SALURAN REZEKI


ALLAH SWT menciptakan semua makhluk telah sempurna dengan pembahagian rezekinya. Tidak ada satu pun yang akan dibiarkan terabai oleh-Nya termasuk kita. Kerana itu rezeki kita yang sudah ALLAH jamin pemenuhannya. Yang diperlukan adalah mahu atau tidak kita mencarinya. Yang lebih tinggi lagi benar atau tidak cara mendapatkannya. Rezeki di sini tentu bukan sekadar wang. Ilmu, kesihatan, ketenteraman jiwa, pasangan hidup, keturunan, nama baik, persaudaraan, ketaatan termasuk juga rezeki bahkan lebih tinggi nilainya dibanding dengan wang.


Walau demikian, ada banyak orang yang dipusingkan dengan masalah pembahagian rezeki ini. Ada banyak penyebabnya. Saudaraku, ALLAH adalah Zat Pemberi Rezeki. Tidak ada setitis pun air yang masuk ke mulut kita kecuali atas izin-Nya. Kerana itu jika ALLAH SWT sampai menahan rezeki kita, pasti ada prosedur yang salah yang kita lakukan. Setidaknya ada lima perkara yang menghalangi aliran rezeki.

Pertama, lepasnya ketawakalan dalam diri.
Dengan kata lain, kita berharap dan menggantungkan diri kepada selain ALLAH. Kita berusaha namun usaha yang kita lakukan tidak dikaitkan dengan-Nya. Padahal ALLAH itu sesuai dengan prasangka hamba-Nya. Ketika seorang hamba berprasangka buruk kepada ALLAH maka keburukanlah yang ia akan terima. Barangsiapa yang bertawakal kepada ALLAH nescaya ALLAH akan mencukupkan (keperluan)nya.

Kedua, dosa dan maksiat yang kita lakukan.
Dosa adalah penghalang datangnya rezeki. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya seseorang itu terjauh dari rezeki disebabkan oleh perbuatan dosanya." Saudaraku, bila dosa menyumbat aliran rezeki maka taubat akan membukanya. Andai kita semak, doa meminta hujan isinya adalah permintaan taubat, doa Nabi Yunus ketika berada dalam perut ikan adalah permintaan taubat. Demikian juga doa di malam lailatul qadar adalah taubat. Kerana itu apabila rezeki terasa sukar, perbanyaklah taubat dengan hati, ucapan dan perbuatan kita.

Ketiga, maksiat ketika mencari nafkah.
Apakah pekerjaan kita dihalalkan agama? Jika memang halal apakah benar dalam mencari dan menjalaninya? Tanyakan selalu perkara ini. Kecurangan dalam mencari nafkah akan membuat rezeki kita tidak berkat. Mungkin wang kita dapat namun berkat dari wang tersebut telah hilang. Apa ciri rezeki yang tidak berkat? Mudah mengalir untuk perkara sia-sia, tidak membawa ketenangan, sukar diguna untuk taat kepada ALLAH serta membawa penyakit. Bila kita terlanjur melakukannya segeralah bertaubat dan kembalikanlah harta tersebut kepada yang berhak menerimanya.

Keempat, pekerjaan yang melalaikan kita dari mengingati ALLAH.
Tanyalah diri kita, adakah aktiviti kita selama ini membuatkan hubungan kita dengan ALLAH makin menjauh? Terlalu sibuk bekerja sehingga lupa atau lewat solat, lupa membaca al-Quran adalah isyarat-isyarat pekerjaan kita tidak berkat. Jika sudah demikian jangan hairan bila rezeki kita akan tersumbat. Idealnya semua pekerjaan harus membuat kita semakin dekat dengan ALLAH. Sibuk boleh namun jangan sampai hak-hak ALLAH kita abaikan. Saudaraku, bencana sesungguhnya bukanlah bencana alam yang menimpa orang lain. Bencana sesungguhnya adalah saat kita semakin jauh dari ALLAH.

Kelima, enggan bersedekah.
Siapapun yang kedekut nescaya hidupnya akan sempit dan rezekinya mampat. Sebaliknya sedekah adalah penolak bala, penyubur kebaikan serta pelipat ganda rezeki. Sedekah bagaikan sebutir benih menumbuhkan tujuh bulir, yang pada tiap-tiap bulir itu terjurai seratus biji. Ertinya ALLAH yang Maha Kaya akan membalasnya hingga tujuh ratus kali ganda. Tidakkah kita tertarik dengan janji ALLAH ini? Maka pastikan tiada hari tanpa sedekah, tiada hari tanpa kebaikan. Insya-ALLAH ALLAH SWT akan membukakan pintu-pintu rezeki-Nya untuk kita. Amin.

-Datuk Md. Othman Hj. Yusof
 "Dari Meja Pengarah Urusan MOY"
  Majalah APO?, isu 281 September 2010



1 comment:

mr.syazwan said...

amin

semoga rezeki kerja kanda dtg selepas membaca doa ini

^_^