Jan 12, 2011

BERLAPANG DADA MENGHADAPI KRITIKAN

Persepsi kita terhadap kritikan akan lebih baik bila kita menanamkan di dalam hati bahawa kritikan itu penting. Sahabat, apa yang terlintas dalam benak kita ketika mendengar orang berkata, "Saya ingin mengkritik anda!". Biasanya, jika seseorang mendapat perlakuan seperti itu, ia akan bereaksi negatif. Seakan-akan kehormatan dan harga dirinya sedang terancam. Ia menganggap kritikan sebagai penghinaan yang akan menurunkan harga diri dan mencemarkan nama baiknya.

Dalam menerima kritikan, kita memerlukan beberapa trik, sehingga kita mampu menerima kritikan tersebut sebagai sarana membangun kemuliaan. Bagaimana caranya?

Pertama, rinduilah kritikan dan nasihat tersebut. Selayaknya, kita boleh memposisikan diri menjadi orang yang rindu diperbetulkan, dan rindu dinasihati. Seperti rindunya kita melihat cermin agar penampilan kita selalu kelihatan bagus. Persepsi kita terhadap kritikan akan lebih baik bila kita menanamkan di dalam hati bahawa kritikan itu penting. Kritikan adalah kunci kejayaan dan kemajuan, kritikan akan membuka prestasi, darjat, dan kedudukan yang baik.

Kedua, cari dan bertanyalah. Belajarlah bertanya kepada orang lain dan nikmati saranan-saranan yang mereka lontarkan. Milikilah teman yang mahu dengan jujur untuk saling memperbetulkan. Tanyalah kekurangan diri pada orang-orang yang dekat dengan kita. Percayalah, semua itu tidak akan mengurangi kemuliaan.

Ketiga, nikmatilah kritikan. Persiapkan diri untuk menerima kenyataan bahawa pembetulan itu tidak selalu harus sesuai dengan keinginan kita. Ada kalanya isinya benar, namun caranya salah. Tidak ada yang rugi dengan diperbetulkan. Jadi, kalau ada yang mengkritik, usahakan untuk tidak memberi komen. Jangan memotong percakapan. Apalagi membantahnya. Belajarlah untuk diam dan menjadi pendengar yang baik.

Keempat, syukurlah. Jangan melontarkan komen apapun kecuali ucapan terima kasih yang tulus kepada si pemberi kritikan. Tampakkanlah raut muka yang sungguh-sungguh dan penuh perhatian. Sertakan namanya dalam doa-doa kita, terutama bila kita ingat akan kebaikan-kebaikan yang pernah ia berikan.

Kelima, menilai diri. Jujurlah kepada diri sendiri ketika menerima kritikan. Jangan sibuk menyalahkan pengkritik, atau mencari kambing hitam dengan menyalahkan orang lain.

Keenam, memperbaiki diri. Buatlah program perbaikan dengan sungguh-sungguh. Jadika program tersebut sebagai ungkapan rasa syukur terhadap kritikan yang datang. Mintalah kepada ALLAH, sebab perubahan hanya terjadi dengan izin dan kekuasaan Dia.

Ketujuh, membalas budi. Jangan lupa untuk mengirimkan tanda terima kasih. Boleh berupa barang berharga, makanan, sepucuk surat, atau paling minimum - informasi kepada yang mengkritik bahawa kita berterima kasih atas kebaikannya. Selamat menerima kritikan.


- Datuk Md Othman Hj. Yusof
  "Dari Meja Pengarah Urusan MOY"
  Majalah APO?, isu 287 Disember 2010

No comments: