Apakah hukum niat puasa?
Hukum niat puasa adalah wajib. Tidak sah puasa (fardhu atau sunat) melainkan dengan niat berpuasa. (J)
Apakah yang dimaksudkan dengan menentukan niat puasa?
Ia bermaksud menentukan jenis puasa yang hendak dilakukan, contohnya puasa bulan Ramadhan tunai, qada’ atau denda (kaffarah), atau nazar, atau sunat, atau sebab-sebab yang lain.
Apakah hukum menentukan niat puasa?
Hukum menentukan niat adalah wajib bagi puasa fardhu. (J)
Hukum menentukan niat adalah wajib bagi puasa sunat juga. (M., B.)
Harus puasa wajib dengan niat puasa mutlak (tanpa ditentukan) atau dengan niat sunat. (M., B.)
Tidak wajib ditentukan niat pada puasa sunat (H)
Disunatkan (H)
Bilakah waktu untuk berniat?
Selepas terbenamnya matahari hari sebelumnya. (J)
Sehingga naik fajar dan tidak harus selepas itu, walaupun puasa yang dilakukan adalah puasa sunat (M)
Sehingga naik fajar bagi puasa yang fardhu. (H, Sh., B)
Sehingga tergelincir matahari bagi puasa sunat. (S)
Sehingga terbenam matahari hari yang dia berpuasa jika puasa sunat (B)
Sehingga tergelincir matahari sama ada puasa itu wajib atau sunat (H)
Wajib diniatkan pada malam hari bagi puasa qada’, puasa kaffarah atau puasa nazar mutlak (H)
Semuanya ini dengan syarat jangan berlaku sesuatu pada siang hari yang boleh membatalkan puasa. (H., Sh., B.)
Jika diniatkan puasa hari berikutnya sebelum terbenamnya matahari bagi hari itu hukumnya harus. (H)
Adakah mesti diperbaharui niat pada setiap hari atau cukup sekadar sekali niat untuk sepanjang bulan?
Wajib diperbaharui niat bagi setiap hari puasa. (H., Sh.)
Harus diniatkan untuk sepanjang bulan atau memperbaharuinya pada setiap malam. (B)
Cukup dengan satu niat bagi semua puasa yang perlu berturut-turut (spt. Ramadhan kaffarah zihar, kaffarah bunuh tidak sengaja atau bersetubuh di siang hari) (M)
Jika terputus turutan disebabkan oleh sakit, musafir atau lainnya, maka hendaklah diperbaharui niat pada setiap malam, meskipun puasanya masih diteruskan. (M)
Wajib dperbaharui niat pada setiap malam bagi puasa yang tidak perlu berturutan (spt. Qada’ Ramadhan, kaffarah al-yamin (sumpah) atau puasa sunat). (M)
Bagaimanakah cara berniat puasa?
Niat tempatnya di hati. (J)
Sunat menyebut dengan lidah. (H, Sh) Contohnya dengan menyebut “Sahaja aku puasa esok hari di bulan Ramadhan secara tunai kerana ALLAH Taala.”
Mencukupi jika hatinya mengetahui yang dia berpuasa. (H)
Bersahur terpakai sebagai tanda niat. (H, M)
Tidak boleh diterima pakai bagi semua jenis puasa, melainkan terlintas di kepalanya tentang puasa semasa bersahur dan dia terus berniat. (Sh.)
Jika dia telah menahan diri dari makan minum ketika naik fajar, maka itu juga boleh diambilkira sebagai telah berniat. (Sh.)
Apakah perkara yang boleh menafikan puasa selepas berniat?
Tidak sesuatu pun yang memudaratkan selepas niat dibuat sama ada makan, minum atau bersetubuh hinggalah naik fajar. (J)
Tetapi jika dia gila dan pengsan setelah itu sebelum naik fajar, maka puasanya akan terbatal. (M)
Apakah hukum menarik balik niat?
Jika niat ditarik balik sebelum fajar, maka penarikannya itu adalah sah. (J)
Jika ianya ditarik balik pada siang hari atau malam hari dan berterusan hingga siangnya, maka puasanya akan terbatal. (J)
Jika ini dilakukan pada puasa Ramadhan, maka wajib diqada’kannya. (J)
Menarik balik niat puasa pada bulan Ramadhan tanpa uzur syar’i mewajibkan kaffarah hinggakan walaupun dia tidak melakukan sesuatu yang lain yang boleh dikenakan kaffarah ke atasnya. (M)
Apakah hukum bagi syak, tersilap, terlupa dan was-was terhadap niat puasa?
Jika seseorang mengesyaki niatnya (contohnya adakah dia berniat puasa qada atau sunat, atau nazar?) maka ia dikira sebagai puasa sunat dan wajib disempurnakan. (M)
Sesiapa yang terlupa meniatkan puasanya, maka puasa itu terbatal, dan wajiblah ia terus berpuasa jika puasa tersebut pada bulan Ramadhan dan hendaklah diqada’kan kemudiannya. (J)
Jika niatnya tersilap, misalnya jika dinazarkan puasa hari Isnin dan Ahad secara tersilap maka sah puasa tersebut. (B)
Wajib diqada’kannya. (M)
Jika berlaku was-was antara puasa fardhu dengan sunat, maka tidak terpakai puasa pada salah satunya. (B, H)
Niat berbuka
Sesiapa yang berniat ingin berbuka walaupun selepas itu (misalnya dia dalam perjalanan dan berniat akan berbuka setelah sampai ke rumah) maka puasanya terbuka dengan serta merta, walaupun tidak dilakukan sesuatu yang menafikan puasanya. (H, Sh, B) melainkan puasa sunat, maka jika dia kembali berpuasa dan berniat, maka sahlah puasanya itu.
Jika dia kembali berpuasa dan berniat sebelum tengah hari maka sah puasanya. (H)
Jika dia was-was yang puasanya terbuka (misalnya dia berniat jika dia terjumpa makanan dia akan membuka puasanya, walaupun akhirnya dia tidak terjumpa) maka puasanya dikira:
terbuka (riwayat Ahmad ibn Hanbal).
Tidak terbuka. (dalam satu riwayat lain Ahmad ibn Hanbal).
Nota singkatan kata:
1. (B) = Mazhab Hanbali
2. (H) = Mazhab Hanafi
3. (M) = Mazhab Maliki
4. (Sh.) = Mazhab Shafi'i
5. (J) = al-Jamaah: Disepakati oleh semua fuqaha'.
Next: PERKARA YANG DISUNATKAN SEMASA BERBUKA (insya-Allah..)
**Kesemua ilmu di atas telah diambil dari buku "Manual Puasa: Pusat Khidmat Islam Bersepadu, Universiti Teknologi MARA SHAH ALAM" oleh saya untuk perkongsian bersama
No comments:
Post a Comment